MUAR – Seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Muar-Yong Peng, Bakri di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian itu pada pukul 6.51 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah lori dengan nombor pendaftaran yang masih belum dikenal pasti.
“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak polis kini giat mengesan pemandu lori terbabit bagi membantu siasatan bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati ketika melintas jalan dan memandu dengan cermat demi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu katanya, diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis terdekat.- MalaysiaGazette