KLUANG – Seorang lelaki dikenali sebagai Man Tiger mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini Kluang atas dua pertuduhan cubaan bunuh dengan melepaskan tembakan terhadap pasangan suami isteri di Machap minggu lalu.
Tertuduh, Abdurrahman Abdullah, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama dua lagi rakan sejenayah yang masih bebas didakwa melepaskan tembakan ke arah pasangan suami isteri Dian Yulandi Suboh, 37, dan Ahmad Fadhullah Mohamed, 38, yang boleh menyebabkan kematian mangsa.
Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bukit Batu, Machap di sini pukul 12.17 tengah hari pada 10 Februari lalu.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis Diraja Malaysia, Inspektor Suniza Nan Yan, manakala tertuduh diwakili peguam Kent Tan Chow Teng.
Dalam hujahannya, Suniza memberitahu, tiada sebarang jaminan ditawarkan kerana kes serius melibatkan senjata dan mendapat perhatian ramai disebabkannya tular.
Bagaimanpun Chow Teng, memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan memandangkan tertuduh menjaga saudara sebelah bapa yang uzur dan sakit serta kakaknya yang tinggal di Simpang Renggam tidak mempunyai pendapatan yang stabil.
Chow Teng turut memberitahu mahkamah, tertuduh hanya bekerja sebagai pekerja katering di Johor Bahru dengan gaji bulanan dianggarkan sebanyak RM2,300.
Hakim bagaimanapun tidak menawarkan sebagai jaminan dan menetapkan 20 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan cubaan bunuh pada 10 Februari lalu selepas seorang wanita berusia 36 tahun didatangi lelaki dipercayai warga tempatan yang bertanyakan pemilik rumah.
Selepas pertanyaan itu, seorang suspek mengeluarkan senjata dipercayai pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa.
Polis kemudiannya berjaya menahan Man Tiger di kawasan Simpang Renggam dalam tempoh 24 jam dan siasatan mendapati suspek mempunyai 27 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam kenyataan malam tadi memberitahu, empat lagi suspek berusia 34 hingga 41 tahun ditahan pada 12.30 tengah hari Isnin lalu di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru.
Dalam tangkapan tersebut, polis merampas sepucuk pistol jenis Sig Sauer berwarna hitam bersama kelopak dan sarung, sepucuk pistol disyaki tiruan, dua motosikal yang dilaporkan hilang, dua batang allen key, beberapa peket plastik lut sinar berisi bahan disyaki dadah serta enam unit telefon bimbit.
“Hasil siasatan awal mendapati pistol yang dirampas dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian tembakan di Kampung Bukit Batu, Machap. Bagaimanapun, polis masih menunggu laporan analisis balistik dari Jabatan Kimia untuk pengesahan,” katanya.
Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah selain tiga daripada mereka didapati positif methamphetamine.
Kesemua suspek direman sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette