KUALA LUMPUR – Penggunaan papan tanda dalam tiga bahasa di Perak sudah dilakukan sejak 2019 iaitu bermula di Pasar Besar Teluk Intan tanpa wujud sebarang isu.
Ketua DAPSY Kebangsaan, Woo Kah Leong berkata, beliau sendiri mengutarakan penggunaan papan tanda tiga bahasa itu ketika memegang jawatan Ketua Whip Ahli Majlis Perbandaran Teluk Intan pada 2019, dan dipersetujui kesemua Ahli Majlis termasuk yang kini bersama dengan Perikatan Nasional (PN).
Jelasnya, selepas Teluk Intan, penggunaan papan tanda tiga bahasa itu turut disusuli di Ipoh dan Taiping serta Ayer Tawar yang semuanya mengetengahkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan dirangkumi bahasa lain.

“Yang peliknya kini ada Ahli Parlimen PN pula yang sibuk mempersoalkan dan menjadikan Pasar Ayer Tawar yang berbuat demikian sebagai isu walhal tidak pernah hilangnya kewujudan Bahasa Melayu dalam pada itu.
“Saya yakin semua parti politik Malaysia adalah menjunjung Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan tidak pernah ada pertikaian berkenaannya.
“Sekiranya ada yang tidak berbuat demikian, nescaya sudah lama diharamkan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook mempersoalkan keperluan meletakkan tiga bahasa bagi papan tanda Pasar Awam Ayer Tawar pada dinding bangunan tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga meminta penjelasan sama ada papan tanda tiga bahasa itu merupakan polisi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Sementara itu, Kah Leong berkata, DAP tidak pernah mempertikaikan tindakan pihak yang meletakkan bahasa Cina di Dataran Cheng Ho, Kelantan atau mempersoalkan sama ada itu adalah polisi kerajaan atau sebaliknya.
Ini kerana, ujar beliau, ahli-ahli DAP adalah insan yang mempunyai akal budi (common sense) dan memahami negara Malaysia adalah negara majmuk dan perlunya sama-sama meraikan kepelbagaian.
Katanya, adalah sangat berniat jahat untuk ahli politik memainkan isu sedemikian dan cuba sedaya upaya untuk memesongkan bahawa KPKT yang ditunjangi Kerajaan Perpaduan mengetepikan bahasa kebangsaan sedangkan ia tidak benar sama sekali.
“Nasihat saya, berpolitik biarlah dengan cara betul dan murni, jangan disebabkan nak raih populariti dan dapatkan publisiti murahan dan natijahnya gadaikan kekuatan kemajmukan negara.
“Jangan lupa bahawa anda pernah sama-sama setuju dengan prinsip kepelbagaian waktu bersama dalam Pakatan Rakyat, stop being double standard,” katanya. – MalaysiaGazette