Seorang wargaenagara Indonesia maut selepas dirempuh lori di Kilometer 25, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat lampu isyarat, Batu Arang, Kuala Selangor, pada Khamis.

KUALA SELANGOR – Seorang pekerja binaan maut selepas motosikal Yamaha Lagenda 110Z yang ditunggangnya dirempuh sebuah lori tipper di Kilometer 25, Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, dekat lampu isyarat, Batu Arang, di sini, pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima makluman mengenai insiden itu daripada orang awam kira-kira jam 5.55 petang.

“Siasatan awal mendapati, dalam kejadian jam 5.20 petang itu, pemandu lori yang juga warga tempatan datang dari arah Batu Arang menghala ke Ijok.

“Apabila tiba di simpang tiga lampu isyarat Batu Arang, lelaki berusia 50 tahun itu meneruskan perjalanan selepas lampu isyarat bertukar warna hijau dan masuk ke simpang kanan.

“Tiba-tiba penunggang motosikal yang juga warganegara Indonesia berusia 50 tahun datang dari arah kiri iaitu dari arah Ijok menghala ke Batu Arang.

“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu lori tidak sempat menghentikan kenderaan lalu melanggar penunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ambia berkata, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika orang ramai mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Inspektor Norzalikha Ghazali di talian 017-8790677 bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here