Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf bercakap pada sidang media berkenaan sindiket penipuan di menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 21 FEBRUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah sebuah syarikat pembinaan berputih mata selepas mengalami kerugian lebih RM20 juta akibat terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 Februari lalu.

Menurut beliau, lelaki berkenaan yang bergelar datuk mula menjadi mangsa selepas melihat iklan pelaburan itu dalam talian.

“Mangsa kemudiannya menekan pautan disertakan dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp 12 Gatering Stocks Into Gold sebelum diajar pelaburan oleh seorang individu yang menggelarkan dirinya Profesor Stanley Lim.

“Terpedaya dengan janji-janji keuntungan ditawarkan, mangsa memuat turun aplikasi UVKXE bagi memulakan pelaburan,” katanya pada sidang media di Menara KPJ di sini hari ini.

Jelas Ramli, mangsa yang tertarik dengan tawaran itu mula membuat sembilan transaksi ke sembilan akaun bank didaftarkan atas nama pelbagai syarikat dengan jumlah keseluruhan transaksi RM26.6 juta bermula 17 Oktober hingga 24 Disember tahun lalu.

“Semakan yang dibuat oleh mangsa pada Januari lalu, akaun pelaburannya mencatatkan keuntungan sebanyak USDT 269.247 juta, kira-kira RM1.2 bilion.

“Bagaimanapun apabila mangsa cuba mengeluarkan keuntungan tersebut, dia diarahkan untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM5.56 juta sebagai alasan untuk cukai,” katanya.

Untuk rekod lima akaun bank milik syarikat yang terlibat dalam kes ini juga sedang disiasat berhubung 38 kes penipuan lain.

Jelas Ramli, setakat ini, sebanyak 46 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE, dengan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM61.4 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here