KULAI – Mahkamah Majistret di sini hari ini memberi amaran kepada seorang pengawal keselamatan untuk tidak mengulangi lagi perbuatan memarahi anggota polis hari ini.
Majistret, R Salini mengeluarkan memberikan amaran tersebut selepas menjatuhkan hukuman denda RM500 terhadap K Pathma Seelan, 22, yang mengaku bersalah atas pertuduhan berkelakuan rusuh dan meninggikan suara terhadap anggota polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai, Isnin lalu.
Mengikut kertas pertuduhan, Pathma Seelan didapati berkelakuan rusuh dalam bangunan balai polis dengan mengganggu dan meninggikan suara terhadap seorang anggota polis.
Perbuatan itu dilakukannya di kawasan perkaranagn IPD Kulai, lebih kurang pukul 7.10 malam pada 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis dan boleh dihukum di bawah Seksyen 94 Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM500 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Pendakwaan dibuat Pegawai Pendakwa PDRM, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pathma Seelan yang belum berkahwin, dalam rayuannya memohon agar mahkamah meringankan hukuman kerana bekerja seorang diri dengan berpendapatan RM1,200 sebulan dan menyara ibunya.
“Tolong saya sudah insaf, saya tidak buat perbuatan itu lagi,” katanya merayu.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian anggota polis tersebut sedang bertugas di kaunter aduan Balai Polis Kulai telah terdengar bunyi kecoh di kawasan pekarangan lobi IPD Kulai.
Anggota terbabit kemudiannya telah keluar untuk melihat dan membuat pemeriksaan bagi mengenal pasti punca kekecohan tersebut.
Bagaimanapun anggota tersebut didatangi tertuduh dan meninggikan suara serta memarahinya sewaktu ingin menenangkan keadaan kecoh tersebut.
Dia juga memarahi anggota berkenaan kerana cuba masuk campur dan kemudian tertuduh berjaya ditenangkan rakannya yang berada di situ.
Pada pukul 3 petang, 18 Februari lalu, anggota terbabit mendapat tahu kejadian itu telah dirakam dan tular dalam media sosial.
Anggota tersebut kemudian ke balai polis untuk membuat laporan bagi mengelakkan sebarang tomahan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee memaklumkan, tiga rakan tertuduh yang ditahan bersama-sama tertuduh dibebaskan.
Semalam, Seng Lee memaklumkan empat lelaki berumur 17 hingga 23 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dalam satu video tular memarahi seorang anggota polis di hadapan IPD Kulai.- MalaysiaGazette