Insiden tersebut menjadi tular selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat dimuat naik ke media sosial.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati mangsa, seorang lelaki warga asing berusia 48 tahun berada di restoran itu untuk memesan minuman sambil menunggu pekerjanya.
“Ketika itu, seorang suspek lelaki memasuki restoran dan berkeliaran sebelum bertindak mengambil beg komputer riba milik mangsa.
“Suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta jenis Proton Persona bersama rakannya yang menunggu di luar restoran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kerugian sebanyak RM59,000.
Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Menurut Hoong Fong, polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette