KUALA LUMPUR – Tindakan untuk menimbulkan persepsi bahawa masjid adalah tempat tidak selamat dan terdedah kepada perbuatan jenayah dalam kalangan masyarakat adalah tindakan biadab dan tidak boleh diterima umat Islam di Selangor.
Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr. Mohamad Fahmi Ngah menyeru para pengunjung masjid terus berwaspada dan membuat laporan segera kepada pihak berkuasa sekiranya wujud cubaan-cubaan sedemikian.

Dalam pada itu, ujarnya, beliau telah memanjangkan laporan berkenaan dakwaan insiden cubaan merogol di sebuah masjid di Batang Kali kepada Ketua Polis Selangor untuk membuat siasatan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta gambar-gambar yang dibekalkan.
“(Ia) agar tindakan segera terhadap pelaku ini diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya yang juga Anggota Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang didakwa insiden cubaan merogol ke atas seorang kanak-kanak perempuan dalam ruang solat jemaah wanita do Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN