Balveer Singh menunjukkan air ketum yang dirampas dalam dua serbuan di sebuah rumah dan kilang di Kempas Baru, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam menyerbu sebuah ‘makmal’ memproses air ketum dan menahan empat lelaki tempatan di sebuah rumah dan kilang di Kempas Baru di sini semalam dan kelmarin.

Dua premis tersebut memproses air ketum sebelum dimasukkan dalam botol 1.5 liter dan dijual RM15 sebotol di pasaran setempat.

Aktiviti dua premis yang disewa itu dipercayai sudah beroperasi sejak enam bulan di rumah terbabit manakala lapan bulan di kilang tersebut sebelum terbongkar dalam serbuan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah pada pukul 11.30 malam kelmarin.

“Dalam serbuan tersebut telah berjaya menahan empat lelaki warga tempatan berusia antara 24 hingga 38 tahun. Mereka merupakan pekerja untuk sindiket ini.

“Menerusi serbuan ini kita merampas 200 botol disyaki air ketum dengan anggaran berisi 300 liter, satu tong ais warna unggu dan satu tong air warna hujau. Anggaran nilai rampasan ini RM3,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara di sini hari ini.

Katanya, serbuan susulan dilakukan di sebuah kilang pada pukul 2.30 pagi semalam dan merampas antaranya 590 botol air ketum (885 liter), satu kamera rakaman litar tertutup (CCTV), 62 tong gas solar gas, 81 pek tong gas dan 81 pek bungkusan mengandungi keseluruhan 5,670 botol lutsinar.

“Ini termasuk 23 periuk steel dan dua guni penutup botol. Keseluruhan nilai rampasan RM8,8850. Jumlah keseluruhan bagi kedua-dua serbuan berjumlah RM11,850,” ujarnya.

Beliau memberitahu, jumlah 790 botol ketum yang dirampas (1,185 liter) mampu digunakan seramai 790 pengguna.

Hasil ujian air kencing mendapati semua suspek negatif dadah, semakan rekod lampau mendapati dua suspek mempunyai rekod lampau dadah dan jenayah.

Semua suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga esok dan akan memohon lanjutan tempoh reman esok.

Kes disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan akan dijatuhkan hukuman bawah Seksyen 30(5) akta yang sama iaitu denda RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

“Kita masih menyiasat dalang di sebalik sindiket ini. Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti penyalahhgunaan dadah agar menyalurkan maklumat ke IPD Johor Bahru Utara 07-556 3122,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here