KUALA LUMPUR- PUSPAKOM Sdn Bhd. menggantung sementara pemeriksaan secara walk-in, termasuk bagi mereka yang ingin menjalani pemeriksaan semula (Berkala Semula) selepas gagal dalam pemeriksaan pertama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mahmood Razak Bahman berkata, keputusan itu bertujuan untuk mengelakkan kesesakan dan memastikan pemeriksaan dilakukan dengan teliti dan adil.
“Ia juga membolehkan pemeriksa kami mendapat rehat yang mencukupi sebelum bertugas keesokan harinya.
“Walaupun begitu, beberapa cawangan utama masih beroperasi sehingga lebih jam 10.00 malam, berbanding lebih lewat sebelum ini.
“Kami sedar cabaran yang timbul akibat perubahan ini, terutamanya di Lembah Klang, di mana mendapatkan slot tempahan menjadi lebih sukar,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Sehubungan itu, Mahmood sekali lagi menggesa pemilik kenderaan untuk memanfaatkan kebenaran yang diberikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memperbaharui permit sehngga 14 hari sebelum tarikh luput tanpa menjejaskan tempoh sah sedia ada.
Sebagai contoh, jika permit tamat pada 31 Mac, pembaharuan boleh dimulakan pada 18 Mac dan sekiranya gagal pemilik kenderaan masih mempunyai 13 hari lagi untuk menjalani pemeriksaan semula.
“Membaharui pada hari terakhir tempoh sah permit boleh menjadi masalah jika kenderaan gagal dalam pemeriksaan,” ujarnya lagi.
Tambah Mahmood Razak,PUSPAKOM juga sedang meneliti semula waktu operasi dan kapasiti bagi menampung lebih ramai pemilik kenderaan.
Bagaimanapun, perkara itu bergantung kepada ketersediaan pemeriksa kenderaan. Pelanggan juga boleh menggunakan perkhidmatan pemeriksaan bergerak PUSPAKOM dengan bayaran tambahan.
“Kenyataan ini dikeluarkan bagi menangani kebimbangan orang ramai mengenai perkhidmatan dan prosedur pemeriksaannya susulan tindakan penguatkuasaan baru-baru ini oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Langkah-langkah ini telah menyebabkan peningkatan pemantauan serta kemerosotan sementara keyakinan awam.
“Dalam mengekalkan standard tertinggi integriti dan pematuhan, pemeriksa kenderaan (VE) PUSPAKOM menjalankan pemeriksaan dengan ketelitian yang lebih tinggi.
“Akibatnya, masa pemeriksaan menjadi lebih lama, dan pemilik kenderaan menghubungi pusat panggilan PUSPAKOM untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.- MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast