KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melakukan rombakan menyeluruh termasuk penstrukturan semula pegawai yang bertugas di kaunter imigresen, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia bagi memastikan hanya individu berintegriti tinggi ditempatkan di posisi kritikal pintu masuk negara tersebut.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu memperketat prosedur pemantauan dan pengawasan terhadap pegawai imigresen melalui penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem audit berkala untuk mengesan dan mencegah sebarang aktiviti mencurigakan.
“MCW memandang serius laporan mengenai seorang pegawai imigresen di KLIA yang ditemui dengan 12 pasport asing disembunyikan di pinggangnya, seperti dilaporkan oleh media.
“Insiden ini menimbulkan kebimbangan terhadap integriti dan amalan rasuah di kalangan pegawai yang bertugas di pintu masuk negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka satu kertas siasatan integriti berhubung penemuan 12 keping pasport yang ditemui bersama pegawai jabatan itu di Terminal 2 KLIA, baru-baru ini.
Mengesahkan kejadian itu, Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, laporan polis telah dibuat pada 7 Januari lalu dan ia diklasifikasikan sebagai tindakan jabatan.
Sementara itu, Jais berkata, kerajaan juga perlu menyediakan program latihan berkala yang menekankan nilai integriti dan etika kerja kepada semua pegawai imigresen bagi membentuk budaya kerja yang bebas daripada rasuah.
Dalam masa sama tindakan undang-undang yang tegas terhadap mana-mana pegawai yang didapati terlibat dalam aktiviti rasuah atau penyalahgunaan kuasa perlu diambil sebagai langkah pencegahan dan pengajaran kepada pihak lain.
“MCW percaya dengan pelaksanaan langkah-langkah ini, integriti dan kepercayaan rakyat terhadap agensi penguatkuasaan dapat dipulihkan.
“Kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang jelas dalam memerangi rasuah dan memastikan pegawai yang bertugas di barisan hadapan menjalankan tanggungjawab mereka dengan amanah dan jujur,” katanya. – MalaysiaGazette