ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan situasi penyakit kusta di Kuala Pilah, Negeri Sembilan adalah terkawal.

KKM dalam satu kenyataan memaklumkan, pesakit kusta juga tidak perlu lagi diasingkan kerana terdapat rawatan yang berkesan.

Katanya, aktiviti pengesanan kes dan kontak serta langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan masih diteruskan dan mana-mana individu yang mempunyai gejala seperti penyakit kusta perlu mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.

“Justeru, KKM menyeru masyarakat agar memberi kerjasama kepada pasukan kesihatan semasa aktiviti pengesanan kes dijalankan.

“KKM juga akan terus komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” demikian menurut kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Negeri Sembilan telah menjalankan saringan ke atas 368 daripada 460 penduduk sehingga 19 Februari lalu sebagai langkah dalam mempergiatkan pengesanan kes kusta di Kampung Chergun dan Kampung Guntur, Kuala Pilah.

Jelasnya, ia merupakan sebahagian daripada usaha mencari dan mengesan kes secara bersasar di lapangan sejak Julai tahun lalu.

Sehingga kini, katanya, sebanyak sembilan kes disahkan kusta dan kesemua pesakit telah diberi rawatan mengikut regim garis panduan yang telah ditetapkan.

Merujuk kepada kes salah seorang pesakit berusia 18 tahun dari Kampung Chergun yang meninggal 17 Februari lalu, jelasnya, pesakit berkenaan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) setelah mengalami gejala demam, sakit perut, muntah.

Ujarnya, pesakit itu telah diberi rawatan sewajarnya oleh Pakar Perubatan Dalaman HTAN serta khidmat konsultasi dari pihak Gastroenterologi, Hepatologi dan Dermatologi.

“Ahli keluarga pesakit membawa pesakit pulang ke rumah pada 16 Februari dan telah meninggal dunia keesokan harinya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here