KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengukuhkan reputasinya dalam bidang kewangan Islam apabila sekali lagi merangkul dua anugerah berprestij pada Anugerah Islamic Finance News (IFN) 2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Pada majlis itu, UIAM menerima dua anugerah pengiktirafan iaitu Institusi Pendidikan Terbaik yang Menawarkan Kursus Kewangan Islam 2024 dan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) UIAM Firma Penyelidikan Kewangan Islam Terbaik 2024.
Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) UIAM memainkan peranan utama dalam pencapaian itu melalui program akademik dan penyelidikan yang komprehensif, sekali gus melahirkan pakar kewangan Islam yang diiktiraf di peringkat global.
Sementara itu, Dekan IIiBF, Prof. Datin Dr. Rusni Hassan, berkata, UIAM mengekalkan kemenangan berturut-turut dalam kategori yang sama sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ujarnya, pencapaian membanggakan itu adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak termasuk para pensyarah, penyelidik, pelajar dan sokongan daripada pihak pengurusan UIAM.
“Lebih membanggakan, IIiBF UIAM telah berjaya memperoleh Anugerah IFN sebagai Institusi Penyelidikan Terbaik untuk kategori penyedia perkhidmatan dan berada di tempat pertama serta kedua selama empat tahun berturut-turut sejak 2019, 2021, 2022, 2023 dan terkini 2024”, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis penganugerahan yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur itu dihadiri oleh para pemain industri kewangan Islam, wakil institusi pendidikan serta para pemimpin korporat yang terus menyokong dan mendukung perkembangan kewangan Islam di peringkat global.
Sementara itu, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berkata, Anugerah IFN merupakan pengiktirafan tertinggi dalam industri kewangan Islam yang menghargai kecemerlangan, inovasi dan sumbangan signifikan institusi dalam bidang tersebut.
“Kejayaan UIAM dalam Anugerah IFN ini membuktikan peranannya yang semakin kukuh dalam membentuk masa depan kewangan Islam melalui pendidikan dan penyelidikan, sekali gus mengukuhkan status UIAM sebagai peneraju utama dalam landskap kewangan Islam global,” katanya. – MalaysiaGazette