KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu melahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya pembangunan yang mengetepikan hak serta kebajikan penduduk asal jika Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) dipinda.
Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, banyak projek pembaharuan semula bandar sebelum ini yang dipinggirkan penduduk asal atas alasan pembangunan tanpa mekanisme pampasan atau penempatan semula yang adil.
“Ini bukan sahaja menghakis hak rakyat terhadap kediaman mereka malah berpotensi meluaskan jurang ekonomi di bandar.
“Sebaliknya hanya golongan berada mampu bertahan dengan kenaikan kos hidup yang bakal berlaku,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada berkata, URA dikhuatiri menjadi pengkhianat terbesar golongan susah yang tinggal di bandar dan secara sinis meminta kerajaan menamakan semula akta berkenaan sebagai Akta Rampas Rumah.
Selain itu, Zulfadli juga berkata, jika pindaan URA berlaku, harga rumah dan kadar sewa kediaman di bandar akan lebih membebankan terutamanya bagi golongan muda dan keluarga berpendapatan sederhana.
“Jika tidak dikawal dengan teliti, pelaksanaan akta ini boleh membuka ruang kepada pemaju untuk memonopoli kawasan bandar dan menaikkan nilai hartanah secara mendadak.
“Akhirnya, rumah yang dibina di bawah projek pembaharuan ini akan menjadi terlalu mahal untuk dimiliki oleh rakyat biasa, sekali gus menafikan matlamat asal untuk memperbaiki kehidupan masyarakat bandar,” katanya.
Menurut Zulfadli, sebarang usaha pembaharuan bandar mesti dilaksanakan dengan ketelusan tinggi serta melibatkan suara rakyat terutamanya golongan muda yang akan mewarisi bandar-bandar ini pada masa hadapan.
“Kerajaan dan pemaju tidak boleh membuat keputusan mengenai perancangan bandar secara tertutup tanpa konsultasi menyeluruh bersama penduduk setempat.
“Penubuhan jawatankuasa pemantauan terdiri daripada wakil masyarakat, termasuk anak muda, boleh memastikan setiap pelaksanaan projek pembaharuan semula bandar benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut agar kerajaan mengkaji semula pendekatan URA dan memastikan ia tidak menjadi alat kepada pihak tertentu untuk meraih keuntungan semata-mata.
“Kami menegaskan bahawa sebarang dasar pembangunan bandar mesti berpaksikan keadilan sosial, kesejahteraan rakyat dan keterangkuman golongan muda dalam setiap proses perancangan.
“Kami tidak menolak pembangunan tetapi pembangunan itu harus bersifat adil dan berdaya huni.
“Kami akan terus memperjuangkan hak rakyat bandar dan memastikan suara anak muda tidak dipinggirkan dalam pelaksanaan sebarang dasar memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka,” katanya lagi. – MalaysiaGazette