ROMPIN – Mayat sorang lelaki warga emas yang dikhuatiri terjatuh ke dalam sungai di jeti Kampung Menchali, Kuala Rompin, Rompin semalam ditemukan lemas hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Salahuddin Isa berkata, mayat Saari Awang, 67, ditemukan orang awam pada pukul 7.45 pagi.
“Mangsa beralamat Felda Keratong 6, Muadzam Shah, Rompin, ditemukan terapung pada jarak kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu mangsa dikatakan ke lokasi terbabit untuk memancing seorang diri sebelum disyaki terjatuh ke sungai.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di kawasan Jeti Kampung Menchali Rompin di Sungai Rompin pada pukul 2 pagi semalam.
Laporan kehilangan mangsa dibuat anak mangsa, Norsapiatul Maizan selepas dua jam bapanya hilang. – MalaysiaGazette