GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima laporan berhubung kematian Ahli Dewan Negeri Ayer Kuning, Perak, Ishsam Shahruddin.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, ahli politik berusia 59 tahun itu dilaporkan pengsan dan tidak sedarkan diri jam 5.20 petang.
Jelasnya, kejadian itu berlaku ketika allahyarham sedang bersalaman dengan pemain lain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di stadium tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/02/22/adun-ayer-kuning-meninggal-dunia/
“Selepas bantuan kecemasan diberikan di tepi padang, mangsa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 5.40 petang.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan HPP jam 6.28 petang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati pekarangan tersebut masih lengang.
Difahamkan, jenazah allahyarham masih ditempatkan di unit kecemasan sementara menunggu kedatangan isteri serta anaknya yang dikatakan kini dalam perjalanan ke HPP. – MalaysiaGazette