Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

KUALA LUMPUR- Angka bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 adalah tepat dan mematuhi sepenuhnya piawaian pelaporan kewangan yang ketat, tegas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam satu kenyataan hari ini, KWSP berkata semua keputusan pelaburan melalui proses ketekunan wajar (due diligence) yang ketat, selaras dengan mandat KWSP serta memberi keutamaan kepada pemeliharaan nilai jangka panjang.

“Memandangkan simpanan persaraan adalah isu berkepentingan nasional, KWSP kekal teguh dalam komitmennya untuk melindungi dan mengembangkan dana ahli dengan profesionalisme, akauntabiliti, dan ketelusan,” katanya.

Kenyataan itu adalah sebagai respons kepada komen berhubung prestasi kewangan KWSP bagi 2023 dan pelaburannya dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), baru-baru ini.

KWSP berkata, selaras dengan komitmennya untuk melindungi kesejahteraan kewangan jangka panjang lebih 16 juta ahli, pihaknya ingin menangani kebimbangan dan salah tanggapan yang timbul.

Jelasnya, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatat jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM66.99 bilion, dengan pendapatan pelaburan bersih sebanyak RM63.48 bilion, selaras dengan angka yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan II.

“Angka ini sejajar dengan rangka kerja pelaporan yang ditetapkan oleh KWSP dan mematuhi Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia,” katanya.

KWSP juga menegaskan, tidak berlaku sebarang kesilapan, salah nyata, atau cubaan menyembunyikan maklumat seperti yang didakwa.

Pengumuman tersebut turut dilaporkan di laman webnya https://www.kwsp.gov.my/en/w/epf-sustains-solid-performance-for2023 dengan tajuk “KWSP Kekal Berprestasi Kukuh dengan Dividen 5.50 Peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 Peratus untuk Simpanan Syariah” pada 3 Mac 2024.

Berkaitan harga transaksi saham MAHB pada 2023, KWSP menjelaskan bahawa julat harga RM5.40 hingga RM7.36 sesaham yang disebut sebelum ini adalah berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Hasil semakan penuh terhadap semua transaksi tahun 2023 mengesahkan bahawa julat harga sebenar adalah RM6.80 hingga RM7.70 sesaham.

“Jumlah keuntungan direalisasi daripada transaksi ini adalah RM102 juta, termasuk keuntungan modal dan dividen yang diperoleh oleh pengurus dana dalaman dan luaran,” katanya.

KWSP turut menjelaskan bahawa angka RM100.7 juta yang disebut sebelum ini tidak termasuk beberapa dividen yang diterima oleh pengurus dana luaran dan telah diselaraskan.

Pelaburan KWSP dalam MAHB menyumbang kepada prestasi keseluruhannya, membolehkan pengisytiharan dividen yang lebih tinggi bagi 2023, iaitu 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional (berbanding 5.35 peratus pada 2022) dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion, serta 5.40 peratus untuk Simpanan Syariah (berbanding 4.75 peratus pada 2022) dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion.

Tegasnya, ia kekal komited terhadap ketelusan dan mengalu-alukan dialog konstruktif dengan penggubal undang-undang, pihak berkepentingan, serta orang ramai bagi memastikan dasar-dasarnya terus memberi manfaat terbaik kepada negara dan ahlinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here