PUTRAJAYA- Taman asuhan kanak-kanak (taska) di Shah Alam, Selangor yang dilanda kontroversi susulan seorang kanak-kanak autistik disyaki didera baru-baru ini, didapati melanggar peraturan operasi.
Jabatan Kebajikan Masyarakat berkata, pemeriksaan awal mendapati premis terbabit didaftarkan sebagai tadika.
Sehubungan itu ia tidak dibenarkan menerima kanak-kanak berumur empat tahun ke bawah dan beroperasi sebagai taska.
“JKM telah mengeluarkan notis larangan beroperasi kepada pengusaha tadika itu kerana kesalahan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak.
“Pihak JKM juga telah meminta pengusaha tadika itu untuk hadir ke pejabat JKM Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat susulan berkaitan kes ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Foto FB Nazmi Zulkifli
Menurut JKM, kes dirujuk kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk tindakan selanjutnya.
JKM mengeluarkan kenyataan itu susulan siasatan terhadap aduan yang dibuat ibu bapa seorang kanak-kanak autistik yang mendakwa anak mereka didera di premis terbabit.
Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim mengesahkan menerima laporan dan telah menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat oleh ibu mangsa pada 11.18 pagi, 16 Jan lepas, yang memaklumkan bahawa suaminya menemukan kesan kemerahan di belakang badan serta bawah mata kanan mangsa.
Siasatan polis dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN