Lima buah kenderaan terbabit dalam nahas berhampiran stesen minyak Taman Dato Rashid, Jalan Pintasan Kuantan mengorbankan dua mangsa yang maut di lokasi kejadian

KUANTAN – Dua lelaki warga Indonesia maut dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah lori berhampiran stesen minyak Taman Dato Rashid, Jalan Pintasan Kuantan, di sini, dalam kejadian 8.15 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, kemalangan membabitkan empat kereta iaitu Perodua Myvi, Proton Wira, Proton Exora dan Perodua Alza  serta sebuah lori.

Katanya, nahas berpunca apabila pemandu kereta Perodua Myvi mengubah laluan dari lorong kanan ke lorong kiri akibat terkena percikan kenderaan di hadapan yang mengganggu penglihatannya.

Namun tindakan itu menyebabkan Myvi berkenaan bergesel dengan kereta Proton Wira.

“Pemandu kenderaan Proton Wira hilang kawalan dan masuk ke laluan arah bertentangan dan seterusnya bertembung dengan Proton Exora dan lori.

“Situasi itu menyebabkan kenderaan Perodua Alza yang berada di belakang kenderaan berkenaan gagal mengelak dan terlanggar belakang Proton Exora,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nahas berkenaan menyebabkan pemandu dan penumpang Proton Wira yang juga tukang rumah warga Indonesia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala anggota tentera menaiki kereta Proton Exora mengalami kecederaan ringan.

Hasil siasatan awal mendap kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu Perodua Myvi kerana gagal memastikan keadaan selamat sebelum mengubah lorong hingga mengakibatkan kemalangan ini berlaku.

Susulan itu pemandu terbabit akan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here