MELAKA – Jejantas Tun Teja bernilai hampir RM8 juta yang dinaik taraf daripada Jejantas Melaka Sentral sebelum ini kini menjadi produk pelancongan terbaharu Melaka.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerja-kerja menaik taraf jejantas itu sejak Mac tahun lalu juga menunjukkan kesediaan Melaka menyambut tetamu dari seluruh dunia sempena Sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2025 (WTD2025) dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Menurutnya, binaan jejantas sepanjang kira-kira 500 meter itu memilih nama Tun Teja sebagai penghormatan kepada permaisuri pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka itu.

“Selain terkenal dengan kecantikan dan keperibadian yang luhur, beliau turut dihormati kerana kebijaksanaan serta keberaniannya.
“Seiring dengan lambang kesetiaan dan keberanian yang mencerminkan peranan Tun Teja, reka bentuk jejantas ini juga diilhamkan daripada warisan seni bina Istana Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Jejantas Tun Teja di Perkarangan Parkir Melaka Sentral malam tadi.

Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata, jejantas itu juga turut menggunakan penggunaan teknologi pencahayaan dan elemen interaktif berkualiti tinggi selain kedua-dua serambi jejantas dilengkapi sistem projektor berasaskan sensor pergerakan.
“Jejantas Tun Teja ini juga adalah manifestasi penghargaan terhadap warisan budaya Melayu yang amat bernilai serta memastikan masyarakat sentiasa mengingati dan menghargai sejarah serta warisan bangsa.
“Malah, ia juga berfungsi sebagai laluan penghubung utama antara hab pengangkutan awam Melaka Sentral dengan pusat perniagaan, pusat beli-belah serta beberapa taman perumahan sekali gus meningkatkan aksesibiliti dan keselesaan pengguna,” katanya.
Ab Rauf berkata, usaha itu meningkatkan daya tarikan kawasan itu sebagai hab pelancongan dan perniagaan yang lebih dinamik sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada usahawan kecil dan sederhana serta komuniti setempat di sekitarnya.
“Dari sudut keselamatan pula, saya mahu pihak polis mahupun pihak berkuasa tempatan untuk sentiasa memantau keselamatan bagi mengelakkan perkara-perkara yang boleh mencalarkan imej Jejantas Tun Teja,” tegasnya. – MalaysiaGazette