KUALA LUMPUR – Pihak Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) memberi amaran kepada pemilik premis yang menyewa atau ‘mengalibabakan’ lesen mereka kepada warga asing tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Datuk Bandar Klang, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk pembatalan lesen dan penyewaan terhadap mana-mana pemilik yang didapati melanggar peraturan ini.
“Dasar perniagaan yang dijalankan pemilik premis menetapkan bahawa lesen hanya boleh diberikan kepada warga tempatan.
“Namun sekiranya ada pekerja asing diambil, mereka perlu ada permit kerja yang sah,” katanya dalam sidang media selepas tamat Operasi Bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di Pasar Meru, Klang, Selangor, kira-kira jam 7.30 pagi tadi.
Beliau turut memberitahu, 600 daripada 721 unit di pasar itu disewakan secara sah tetapi jumlah sebenar premis yang disewa secara haram masih dalam siasatan.
“Kami juga mengesan bahawa beberapa premis di tingkat atas pasar telah disalahgunakan sebagai tempat tinggal pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini.
“Dari kadar sewaan, MBDK telah menetapkan harga di antara RM100 hingga RM600 bergantung kepada jenis perniagaan.
“Tetapi ada kes di mana premis yang disewakan semula kepada warga berada pada kadar lebih tinggi iaitu sbermula RM500 sebulan bagi satu lot,” tambahnya.
Sebagai langkah penguatkuasaan, pihaknya akan menyenarai hitam mana-mana pemilik yang menyalahgunakan lesen dan penyewaan premisnya dibatalkan selain tidak akan dibenarkan beroperasi di mana-mana lokasi di bawah seliaan MBDK.
MBDK juga akan terus komited untuk meningkatkan usaha ini bagi memastikan premis perniagaan digunakan dengan sah serta mengelakkan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Ada PATI salah guna kad UNHCR, sewa gerai rakyat tempatan – JIM