KUALA LUMPUR – Bekas kapten skuad bola sepak Australia, Mark Milligan teruja untuk memulakan tugasnya sebagai penolong pengendali Harimau Malaya, selain bersedia membawa skuad negara ke arah lebih baik pada masa akan datang.
Jurulatih berusia 39 tahun itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan, beliau juga tertarik dengan projek revolusi yang dicetus Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang sekali gus memanggilnya untuk ke Malaysia.
“Ia amat baik untuk saya berada di sini (Malaysia) dan memulakan tugas seawal mungkin. Apabila peluang untuk bersama Harimau Malaya tiba, ia menjadi peluang untuk saya sebagai jurulatih dan menjadi sebahagian daripada projek yang amat mengujakan.
“Ia satu keputusan mudah untuk bersama projek ini setelah saya dihubungi oleh ketua jurulatih, Peter Cklamovski,” katanya menerusi kenyataan itu.
Millingan berkata, beliau turut bersedia untuk menggunakan segala pengalaman yang dimiliki untuk dimanfaatkan dalam membimbing skuad negara.
Beliau berkata, dia turut bangga melihat pemain muda negara diberi peluang oleh kelab untuk beraksi pada peringkat tertinggi kejohanan di Asia.
“Perkara yang paling penting ialah kelab terus memberikan ruang kepada pemain muda beraksi dan saingan liga yang kompetitif bakal membantu pasukan kebangsaan,” katanya.
Milligan tiba di Malaysia pada pertengahan Februari, sebelum memulakan tugasnya membantu Cklamovski dengan menyaksikan aksi final 1 Piala Cabaran antara Selangor menentang PDRM, pada Sabtu. – MalaysiaGazette