Rais Yasin

MELAKA – Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka akan mengambil tindakan tegas termasuk membatalkan lesen peniaga degil yang dikesan menjual gula-gula kenyal berbentuk mata atau gummy ball.

Exco Kanan Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, keputusan itu akan dilaksanakan selepas menerima garis panduan dan prosedur daripada kementerian terbabit.

Ia selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam melarang penjualan produk gula-gula kenyal itu yang digemari kanak-kanak melalui semua platform dalam talian dan pasaran domestik.

“Seperti (isu) gula-gula kenyal yang berlaku (kes melibatkan kematian) ini kalau kerajaan mengharamkan sudah tentu kita akan ambil tindakan dengan segera.

“Tapi setakat ini kita masih menunggu guideline (garis panduan) dan kalau ianya ada itu kita akan ambil tindakan bergantung kepada SOP (prosedur operasi standard) yang ada,” katanya.

Rais menunjukkan minyak kitar semula selepas merasmikan Program Anda Kitar Kami Bayar Perdana Kita Semula Komuniti Lestari di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Anda Kitar Kami Bayar Perdana Kita Semula Komuniti Lestari di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Terdahulu, media melaporkan pelajar sekolah, Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, yang dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 malam Khamis lalu ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Murid Tahun 4 itu sebelum ini dilaporkan kritikal setelah rebah dipercayai akibat tercekik gula-gula kenyal yang dibeli di luar sekolah Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth, kira-kira jam 2.30 petang Selasa lalu.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput turut menzahirkan rasa kesal dan menyifatkan kes tragis itu sebagai kes terpencil.

Tegasnya, kejadian seumpama itu harus dibendung dan tidak sewajarnya berulang jika semua pihak tidak mengambil sikap lepas tangan.

“Saya rasa sedih dan sayu dan kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa adik ini dan di peringkat kerajaan negeri, PBT kita akan melakukan pemantauan walaupun ia mungkin adalah satu kes terpencil.

“Semua pihak perlu bekerjasama baik daripada pihak PBT, guru serta ibu bapa dan bukanlah meluding jari kepada mana-mana pihak,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here