MELAKA – Kerja-kerja pembinaan Loji Sisa ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini dijangka bermula Jun ini.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan lklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, berita gembira itu disampaikan sendiri Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Datuk Dr Mohd Azhar Abd Hamid.
Menurutnya, pada pertemuan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh itu, Mohd Azhar menyatakan komitmen Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) terhadap usaha itu yang tertangguh sebelum ini.

“Pada pertengahan tahun ini, akan ada progres yang besar kerana sekarang ini saya difahamkankan hanya di peringkat kementerian ada sedikit kerenah-kerenah birokrasi di sana.
“Insya-Allah tahun ini kita akan ada progres sebab bajet semua sudah ada malah sudah award (beri) kepada syarikat dan kita hanya menunggu untuk memastikan insenerator ini dapat dilaksanakan sesegera mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Anda Kitar Kami Bayar Perdana Kita Semula Komuniti Lestari di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Melaka, Datuk Shadan Othman.
Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, WTE adalah projek peringkat Persekutuan dan Melaka tertakluk di bawah Akta 672 yang mana segala perihal sampah sarap tertakluk di bawah kementerian.
“Selagi insinerator ini tidak dilaksanakan kita sentiasa berada dalam ketakutan kerana pada Mac tahun depan kapasiti tapak pelupusan sampah di Sungai Udang sudah mencapai had sepatutnya.
“Kelewatan WTE juga dibimbangi akan menyebabkan wujudkan lebih banyak tapak pelupusan sampah haram kerana penduduk melaka yang hampir sejuta penduduknya menghasilkan 1,050 tan sisa sampah sebulan,” katanya. – MalaysiaGazette