KUALA LUMPUR – Remaja yang sedang disiasat kerana disyaki mencabul kanak-kanak perempuan ketika solat subuh di sebuah masjid di Batang Kali semalam disahkan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) sejak kecil.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim mengesahkan hasil semakan mendapati lelaki berkenaan merupakan OKU masalah pembelajaran.
“Hasil pemeriksaan kita mendapati dia (suspek) mempunyai kad OKU Learning Disability (masalah pembelajaran) sejak kecil lagi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Memetik laporan akhbar itu, polis sebelum ini menunggu pengesahan JKM berhubung kad OKU milik lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung kes cabul.
Sementara itu, Bernama melaporkan, remaja berkenaan kini ditahan reman selama tujuh hari bemula hari ini.
Polis memperoleh perintah menahan lelaki itu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Izzah Hasan Basri sehingga 28 Februari ini.
Sebelum ini, polis menerima laporan pada pukul 8.19 pagi semalam berhubung kejadian itu yang turut tular dalam media sosial, sebelum suspek ditahan pada hari sama di sekitar Batang Kali.
Kejadian dilaporkan berlaku ketika mangsa sedang menunaikan solat di saf belakang ruang solat wanita di masjid terbabit.
Rakaman video kamera litar tertutup yang tular memaparkan seorang lelaki berkopiah putih menyelinap masuk ke ruang solat wanita sebelum memeluk seorang kanak-kanak perempuan yang sedang sujud dari arah belakang tanpa disedari jemaah lain.
Berdasarkan rakaman itu, lelaki terbabit dilihat mengangkat mangsa dan membawanya ke ruangan lain sebelum dipercayai dicabul. Bagaimanapun, mangsa dapat melepaskan diri selepas bergelut dengan suspek. – MalaysiaGazette