KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor melahirkan rasa kesal dengan kenyataan sesetengah pihak yang menyatakan wanita dan kanak-kanak sepatutnya menunaikan solat hanya di rumah sahaja.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, sebaliknya semua pihak perlu menyediakan persekitaran yang selamat bagi wanita dan kanak-kanak termasuk masjid, sekolah dan pejabat.
“Kita kena sediakan tempat-tempat awam yang selamat untuk wanita dan kanak-kanak dan bukannya terus menghalang mereka keluar dari rumah.
“Semoga masjid-masjid kita serta seluruh Selangor menjadi tempat selamat untuk semua termasuklah golongan kanak-kanak dan wanita,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Terdahulu, media melaporkan lelaki berusia 19 tahun yang disyaki mencabul kanak-kanak perempuan ketika menunaikan solat Subuh di sebuah masjid di Batang Kali, Hulu Selangor direman tujuh hari hingga 28 Februari ini.
Lelaki warga tempatan itu direman mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Dalam pada itu, Anfaal juga meminta masyarakat untuk tidak mempunyai stigma negatif terhadap golongan orang kurang upaya (OKU) susulan kes ini.
“Kad OKU tidak sentiasa mengecualikan pelaku daripada dikenakan tindakan.
“Tahap kewarasan pelaku tersebut harus diuji untuk menentukan sama ada pelaku boleh membezakan baik dan buruk semasa melakukan perbuatan yang tercela ini.
“Apapun, saya percaya pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melakukan siasatan yang baik untuk memastikan keadilan tertegak,” katanya.
Selain itu, Anfaal juga menggesa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan perkhidmatan kaunseling secara percuma kepada mangsa untuk menangani potensi trauma susulan kes ini.
“Semoga mangsa berada dalam keadaan yang sihat dan sejahtera daripada segenap aspek sama ada fizikal, mental, emosional mahupun spiritual,” katanya.
Dalam pada itu, semua pihak perlu melakukan usaha untuk menjaga golongan OKU seperti itu supaya mereka tidak melakukan sesuatu yang membahayakan diri sendiri dan orang lain atas ketidakwarasan mereka.
“Insya-Allah, dengan tertubuhnya Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) pada tahun ini, Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk melebarkan lagi inisiatif untuk golongan OKU.
“Ia mencakupi juga OKU dewasa dan memberi manfaat kepada pelbagai lagi kategori OKU,” katanya lagi. – MalaysiaGazette