Eyka (dua dari kanan) bersama Ammar Nazhan (tengah) dan Aras (dua dari kiri) membuat video permohonan maaf kepada Polis Indonesia selepas memperdaya pihak berkuasa republik itu demi konten di media sosial.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima tiga aduan awam berkaitan kandungan palsu pempengaruh tempatan, Ammar Nazhan berhubung kehilangan rakannya di Indonesia yang tular di media sosial baru-baru ini.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan, dua aduan  berhubung perkara itu diterima menerusi MCMC Consumer Redress Portal (CRP) dan satu lagi aduan awam dirujuk oleh Kementerian Komunikasi.

Kesemua aduan berkenaan sedang dalam penelitian pihaknya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Secara umumnya, bagi kes membabitkan maklumat atau berita palsu, asas tindakan siasatan akan dimulakan berdasarkan aduan atau laporan diterima dari pihak yang terkesan.

“Siasatan akan dijalankan secara menyeluruh dengan mengambil kira semua elemen kesalahan termasuk menentusahkan maklumat atau berita melalui bukti dokumentasi, keterangan daripada pihak berkaitan serta bukti lain yang boleh mengaitkan seseorang individu, perbadanan atau syarikat dengan kesalahan disyaki dilakukan.

“Dalam hal ini, tindakan dan kuasa SKMM adalah terhad kepada peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” katanya.

SKMM berkata, asas tindakan siasatan akan dimulakan berdasarkan aduan atau laporan yang diterima dari pihak yang terkesan.

“Penelitian akan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] kerana perkongsian kandungan bersifat palsu.

“Ia memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

SKMM menasihatkan pempengaruh atau penghasil kandungan supaya berwaspada dalam menghasilkan sebarang bentuk kandungan.

“Ia bagi mengelak pelanggaran komuniti standard yang ditetapkan oleh penyedia platform serta yang paling penting, tidak melanggar mana-mana peruntukan undang-undang.

“Dalam sesetengah keadaan, hukuman yang lebih berat boleh dikenakan terhadap mereka (mengikut pertimbangan dan budi bicara mahkamah).

“Ia turut mengambil kira faktor jangkauan kandungan dihasilkan mereka yang mempunyai puluhan ribuan atau jutaan pengikut, tanda suka, langgan serta impak kepada orang awam yang boleh menyebabkan panik atau kegusaran awam sekiranya ada,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan pempengaruh media sosial, Ammar Mohd Nazhan dan Aras Abdullah yang membuat video mengenai kehilangan rakan mereka, Eyka selepas masuk ke dalam hutan di Bandung, Indonesia membuat permohonan maaf selepas membuat kandungan palsu sehingga tular di media sosial.

Menurut mereka, semua kandungan yang dibuat itu hanya hiburan semata-mata dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Dakwaan kehilangan Eyka tular ketika melakukan aktiviti paranormal di dalam hutan pada 3 Februari lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here