KUALA LUMPUR – Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal menjadi gelanggang pertemuan final Piala Malaysia antara juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC (SPFC) pada 12 April ini.
Ketetapan itu diumumkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menerusi kenyataan selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia (Liga M) 2024-2025.
MFL turut mengambil kira pembabitan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Menurut badan itu, penyertaan gergasi Harimau Selatan itu yang layak ke pusingan 16 terbaik adalah penting kepada negara.
“Tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia itu dilihat akan memberi ruang kepada JDT untuk mengharungi peringkat kalah mati ACLE di mana pembabitan JDT di pentas antarabangsa cukup penting dalam menyumbang mata bagi meningkatkan kedudukan Malaysia dalam ranking kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
“MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik SPFC,” kata MFL.
Dalam perkembangan sama, MFL turut menyatakan pemilihan tarikh tersebut dibuat selepas mengambil kira ketersediaan SNBJ sebagai venue bagi perlawanan akhir yang berprestij itu.
“Antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April 2025 itu juga adalah ketersediaan venue SNBJ yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti.
“SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas tamatnya perlawanan akhir Piala Malaysia, menjadikan 12 April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir,” katanya.
Selain itu, perubahan itu juga akan membabitkan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super bagi minggu 25 dan 26.- MalaysiaGazette