Pihak pengurusan Masjid Jami Aulia Pekalongan bersama delegasi Malaysia.

KUALA LUMPUR  – Kehadiran bulan Ramadan yang amat bermakna bagi penduduk Islam Kelurahan Sapuro Kebulen di Indonesia apabila Masjid Jami Aulia Pekalongan yang berusia 411 tahun menerima sumbangan karpet baharu sumbangan Malaysia.

Karpet berona hijau bermotifkan sejadah Raudhah Masjidil Nabawi itu disumbang oleh Yayasan VFive selain Teraju Construction Sdn Bhd dan beberapa individu dari Malaysia.

Selain sumbangan karpet, satu program makan tengahari turut berlangsung selepas solat Jumaat semalam yang disertai lebih 1,000 jemaah.

Atase Agama, Kedutaan Besar Malaysia Jakarta, Mohd Shamsuri Ghazali berkata, usaha itu membuktikan Kerajaan Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan yang erat.

“Hubungan ini bukan sahaja dari segi keserumpunan bangsa dan budaya, tetapi juga melalui dakwah Islam kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan.

Turut hadir pada majlis itu, Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami Indonesia), Asro Kamal Rokan.

Menurut Asro, program sedemikian mampu mengukuhkan ukhwah kerana masjid bersejarah yang terletak kira-kira 361 kilometer dari Jakarta itu merupakan pusat aktiviti keagamaan masyarakat di kawasan berkenaan.

Masjid Jami Aulia Pekalongan dibina pada tahun 1614 dipilih sebagai penerima kerana nilai sejarahnya yang tinggi.

Masjid itu dibangunkan oleh empat tokoh agamawan terkemuka iaitu Kiai Maksum, Kiai Sulaiman, Kiai Lukman dan Nyai Kudung yang diutus oleh Kesultanan Demak Bintoro.

Keempat-empat tokoh itu dikenali sebagai penyebar ajaran Islam di Jawa Tengah.

“Kami mewakili jemaah Masjid Jami Aulia mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan karpet baharu dan program jamuan makan tengahari,” kata Nazir dan Ketua Umum Masjid Jami Aulia Pekalongan, Ahmad Dhananir Mutasil.

Ahmad Dhananir Mutasil.

Beliau berkata, rakyat kedua-dua negara perlu mencari persamaan berlandaskan agama dan faktor serumpun kerana hubungan mereka ibarat ahli keluarga.

“Sama-sama kita berdoa agar pemimpin kedua-dua negara terus memperkukuhkan hubungan. Begitu juga rakyat Indonesia dan Malaysia harus terus memelihara kesamaan akar budaya, sejarah, agama, bahkan keturunan yang sama,” katanya.

Sementara itu, ahli kariah Masjid Jami Aulia Pekalongan, Fauzan Sasmati, 88, pula  terharu dengan sumbangan yang diberikan.

Fauzan Sasmati

“Sumbangan ini sudah tentu memberi keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan solat sunat Terawih dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here