KUALA NERUS – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui kecewa dengan keputusan seri 2-2 menentang Kuching City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam tadi.
Badrul Afzan berkata kegagalan pemain menyudahkan peluang dan kehilangan fokus oleh barisan pertahanan mengakibatkan skuad Penyu pulang dengan satu mata, walaupun mendahului 2-0 pada awal permainan.
Beliau berkata keputusan perlawanan malam tadi bukan sahaja memudarkan harapan TFC untuk menempatkan diri pada tiga kelompok teratas Liga Super, malah menggugat kedudukan pasukan yang berada di tangga keempat pada masa ini.
“Malam ini kita tengok banyak sangat kelemahan. Saya sangat kecewa kerana kita melepaskan dua gol dalam masa dua minit. Kita hilang fokus…hilang kosentrasi.
“Kita mengawal perlawanan di kedua-dua babak permainan. Tetapi kita terlalu selesa hingga melepaskan gol mudah buat lawan. Seperti perlawanan sebelumnya, kita mencipta banyak peluang…tetapi gagal disebabkan ketumpulan penyudah,” katanya selepas perlawanan menentang The Cats di SSMZA malam tadi.
Sementara itu pengendali Kuching City FC Aidil Shahrin Shahrin Sahak memuji semangat juang dan berpasukan yang dipamerkan anak buahnya.
Beliau berkata walaupun ketingggalan 0-2, anak buahnya tidak patah semangat dan terus berjuang untuk memenuhi misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata di tempat lawan.
“Saya harap momentum ini dapat diteruskan pada perlawanan menentang Kelantan minggu depan. Kita kena kerja keras untuk dapatkan tiga mata.
“Kita ada empat perlawanan berturut-turut di tempat lawan selepas ini. Ia pasti memenatkan kerana kita bukan berada di semenanjung. Tetapi kita akan cuba hadapi dan dapatkan seberapa banyak mata,” katanya.
TFC kini menduduki tangga keempat liga dengan 28 mata selepas 19, perlawanan manakala Kuching City mengekori di tangga kelima dengan 24 mata hasil 18 perlawanan. – BERNAMA