Abdullah Husin

KUALA LUMPUR – Pas Johor menolak Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) kerana didakwa memberi tekanan kepada pemilikan hartanah orang Melayu dan Bumiputera di bandar.

Pesuruhjayanya, Abdullah Husin yang menegaskan pendirian itu berkata, penolakan akta itu bukan bermaksud menolak pembangunan, sebaliknya URA memberi ruang kepada pemaju dan kerajaan untuk mengambil alih tanah serta kediaman rakyat atas nama pembangunan.

“Namun, realitinya selepas projek siap, harga rumah meningkat mendadak dan penduduk asal, terutamanya golongan B40 Melayu dan Bumiputera, tidak mampu untuk kembali ke kawasan mereka sendiri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mendakwa, URA membuka ruang besar kepada pemaju untuk mengambil alih kawasan yang dihuni majoriti Melayu dan Bumiputera dengan alasan pembangunan semula, namun akhirnya bertukar menjadi kawasan kediaman elit yang hanya mampu dimiliki oleh golongan kaya dan pelabur hartanah.

“Kami menyokong kenyataan Ketua Penerangan Pas Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, yang membantah pelaksanaan akta ini kerana ia memberi kuasa kepada pemaju untuk mengambil tanah rakyat tanpa jaminan bahawa pemilik asal akan terus memiliki hak ke atas kediaman mereka,” katanya.

Abdullah turut menegaskan bahawa, walaupun kerajaan menyatakan pemilik asal akan diberikan unit baharu, tiada jaminan bertulis bahawa mereka tidak akan dikenakan bayaran tambahan, selain tiada kawalan terhadap kenaikan harga rumah selepas pembangunan.

Katanya, kos penyelenggaraan dan cukai hartanah yang lebih tinggi akan membebankan pemilik asal hingga akhirnya, mereka yang tidak mampu akan terpaksa menjual rumah kepada golongan kaya, menyebabkan peminggiran semakin ketara.

Beliau menolak dakwaan bahawa kebimbangan terhadap URA sekadar mitos perkauman atau tuduhan politik, sebaliknya melihat ia sebagai satu peminggiran terancang terhadap rakyat Melayu dan Bumiputera melalui mekanisme undang-undang yang kelihatan sah tetapi, berat sebelah.

“Jika kerajaan benar-benar mahu menjaga kepentingan rakyat, mengapa masih tiada jaminan konkrit bahawa pemilik asal tidak akan kehilangan hak milik akibat kenaikan harga rumah dan kos penyelenggaraan?” soalnya.

Justeru beliau berkata, Pas Johor menuntut kerajaan menolak URA yang memberi kelebihan kepada pemaju dan memberi tekanan kepada rakyat Melayu dan Bumiputera, selain mendedahkan mekanisme pelaksanaan pembangunan semula secara telus serta memastikan pemilik asal diberikan unit baharu tanpa bayaran tambahan yang membebankan.

Katanya, Pas Johor turut menggesa kerajaan mengawal kenaikan harga rumah bagi mengelakkan spekulasi hartanah yang mengakibatkan peminggiran penduduk asal serta menjamin skim bantuan dan subsidi bagi golongan B40 yang terkesan akibat pembangunan semula.

“Kami menyokong pembangunan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, tetapi menolak sebarang bentuk undang-undang yang menindas, terutama terhadap Melayu dan Bumiputera. Jika URA dibenarkan, ia hanya akan menjadi alat kepada pemaju dan pelabur untuk mengaut keuntungan atas tanah yang asalnya milik rakyat biasa,” katanya.

Abdullah turut menyatakan sokongan terhadap pendirian Pas Pusat dalam membantah URA kerana ia tidak memihak kepada kepentingan rakyat, sebaliknya memberi kelebihan besar kepada pemaju dan pelabur hartanah. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here