KUALA LUMPUR – Cadangan pindaan Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) hanya menguntungkan golongan berpendapatan tinggi sahaja dan mengakibatkan komuniti bumiputera terus terpinggir dalam kawasan bandar.
Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin berkata, jika proses pembangunan ini tidak dikawal dengan baik, ramai pemilik rumah berisiko kehilangan kediaman.
“Tanpa perlindungan jelas, URA boleh mengakibatkan peminggiran komuniti Bumiputera di bandar-bandar utama susulan pindaan itu menyebabkan syarat persetujuan untuk pembangunan semula kini diturunkan.
“Ia membuka ruang kepada tekanan daripada pemaju untuk memaksa penjualan hartanah akhirnya boleh menyebabkan penduduk asal dipindahkan ke kawasan lain,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada Selasa berkata, URA dikhuatiri menjadi ‘pengkhianat terbesar’ golongan susah yang tinggal di bandar dan secara sinis meminta kerajaan menamakan semula akta berkenaan sebagai Akta Rampas Rumah.
Nasrun selaku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wangsa Maju berkata, kerajaan perlu memastikan pembangunan tidak mengorbankan hak penduduk sedia ada dan tidak menjadikan bandar sebagai ruang eksklusif hanya untuk golongan kaya.
“Kami menggesa kerajaan mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan pembangunan semula bandar tidak membawa kepada peminggiran Bumiputera atau peningkatan kos sara hidup tidak terkawal.
“Menetapkan kuota pemilikan rumah bumiputera yang jelas dan memastikan projek pembangunan menyediakan unit khas untuk penduduk asal pada harga mampu milik,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan perlu memperkenalkan skim pembiayaan khas bagi membantu pemilik rumah membeli semula hartanah mereka selepas pembangunan semula.
“Kerajaan juga perlu mewujudkan undang-undang untuk melindungi pengguna daripada penjualan paksa dengan menaikkan semula syarat persetujuan pembangunan sekurang-kurangnya 80 peratus bagi memastikan pemilik tidak dipaksa menjual tanpa persetujuan majoriti lebih besar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendesak kerajaan melaksanakan penilaian impak sosial (SIA) sebelum mana-mana projek pembangunan diluluskan kerana kesannya kepada komuniti sedia ada mesti dinilai dengan telus.
“Premis komersial dalam projek pembangunan mesti memberi keutamaan kepada usahawan dan peniaga bumiputera supaya mereka tidak kehilangan ruang perniagaan mereka,” katanya.
Katanya lagi, Pergerakan Pemuda UMNO menyokong pembangunan bandar yang berdaya maju, moden dan mampan namun ia mesti berlaku dengan adil.
“Bumiputera telah lama menjadi sebahagian daripada ekosistem bandar Malaysia dan hak mereka untuk memiliki rumah dan menjalankan perniagaan di bandar mesti dipertahankan,” katanya.
Sehubungan itu, pihaknya menyeru kerajaan mengadakan sesi rundingan terbuka bersama komuniti, ahli akademik dan pihak berkepentingan sebelum meneruskan pelaksanaan akta ini.
“Sebarang dasar yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat tidak boleh dilaksanakan tanpa memastikan perlindungan sewajarnya.
“Rakyat Malaysia berhak untuk tinggal dan berkembang di bandar mereka sendiri, bukan dipinggirkan atas nama pembangunan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette