Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika melawat sebuah rumah asnaf yang dibaik pulih pada Majlis Ihsan Madani di Apartment Desa Tasek, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 FEBRUARI 2025

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menegur sikap segelintir penduduk yang tidak menjaga harta awam termasuk kemudahan lif yang disediakan meskipun kerap diperbaiki.

Isteri Perdana Menteri berkata, kemudahan awam terutama di kediaman bertingkat perlu dijaga secara bersama bagi memastikan ia boleh dimanfaatkan oleh semua penghuni.

“Memang kalau sudah berumur (penghuni) hendak naik lif dan kadang-kadang lif rosak dan kita juga ada masalah (kesihatan), jadi kena sama-sama menjaganya.

“Kalau rosak, laporkan pada pejabat. Hidup memang banyak tekanan, jadi kita hargai kemudahan yang diberikan dan sama-sama menjaganya. Kita share-sharelah,” ujar beliau.

Menurut Wan Azizah, beliau difahamkan, perbelanjaan bagi menukar keseluruhan lif yang rosak menelan belanja sehingga RM100,000.

Ujarnya, namun kemudahan sedia ada tidak dijaga sebaliknya pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan vandalisme.

“Apa yang kita mahu adalah kesejahteraaan sosial dan pembangunan masyarakat yang seimbang,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Ihsan Madani Parlimen Bandar Tun Razak di Apartment Desa Tasek, Sungai Besi di sini hari ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melawat sebuah rumah asnaf yang dibaik pulih pada Majlis Ihsan Madani di Apartment Desa Tasek, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 22 FEBRUARI 2025

Program anjuran Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu melibatkan Projek Membaik Pulih Rumah Asnaf, Skim Bantuan Awal Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bantuan Khas & Bakul Makanan di kawasan Parlimen berkenaan.

Seramai sembilan penuntut menerima bantuan awal sebanyak RM700 setiap seorang dan diberikan secara one-off sebagai persediaan melanjutkan pelajaran.

Selain itu, tiga individu menerima bantuan rawatan dan ubat daripada YWP manakala 100 penduduk menerima bakul makanan.

Pada majlis itu, Wan Azizah turut melawat penghuni rumah yang dibaik pulih, Rokiah Ismail, 68, di aras bawah kediaman tersebut.

Rumah tersebut yang didiaminya berseorangan, siap dua minggu lalu selepas dibaik pulih dengan kos sekitar RM30,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here