KUALA LUMPUR – Yellow House, sebuah organisasi kebajikan yang memberi tumpuan kepada membantu komuniti gelandangan, miskin bandar dan pelarian kini beroperasi dengan wajah baharu.
Ia selepas proses naik taraf yang disokong oleh YTL Foundation dan YTL Construction.
Terletak di Kampung Ampang Campuran, bangunan berusia 40 tahun itu telah diubah suai menjadi ruang yang lebih lestari dan selesa bagi menjalankan pelbagai program komuniti.
Menurut Pengasas dan Presiden Yellow House, Shyam Priah, penambahbaikan bukan sahaja meningkatkan kualiti fasiliti tetapi juga memberi peluang lebih besar kepada semua berinteraksi dan menjalankan aktiviti dalam persekitaran yang lebih baik.

Katanya, sebagai sebahagian daripada inisiatif pemuliharaan, elemen buluh digunakan dalam reka bentuk bangunan bagi memastikan ketahanan serta mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
Selain itu, bumbung yang lebih tinggi dan halaman terbuka memberi pencahayaan semula jadi serta pengudaraan yang lebih baik, mewujudkan suasana yang mesra dan inklusif.
“Sebagai langkah awal selepas pelancaran semula ini, Yellow House memperkenalkan inisiatif Farmer’s Market, sebuah platform bagi petani kecil sekitar Ampang untuk menjual hasil pertanian mereka terus kepada pengguna tanpa melalui orang tengah.
“Lebih menarik, Farmer’s Market ini juga akan melibatkan golongan gelandangan, yang diberi peluang menjual hasil tanaman mereka seperti garam herba, sayuran mikrohijau, sayuran kecil lain, dan herba kering yang ditanam di Farm School milik Yellow House seluas satu ekar.
“Pastinya impian dan usaha ini tidak akan tercapai tanpa sokongan penuh daripada YTL Foundation, YTL Construction, serta sumbangan pihak korporat dan individu yang prihatin terhadap nasib komuniti terpinggir,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sambung beliau, dengan ruang yang lebih baik, pihaknya kini dapat memperluaskan impak dan menawarkan lebih banyak program untuk membantu komuniti yang semakin berkembang.
“Kami juga mengalu-alukan sokongan daripada pelbagai pihak bagi memastikan inisiatif yang dijalankan terus memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew berkata, projek itu merupakan sebahagian daripada komitmen Kumpulan YTL dalam memperkasakan komuniti bersempena ulang tahun yang ke-70 dengan tema YTL Beyond 70.
“Kami mahu Yellow House menjadi tempat yang memberi harapan kepada mereka yang memerlukan di mana mereka boleh membina semula kehidupan, menemui potensi diri dan mendapatkan kekuatan untuk meneruskan masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Untuk makluman, Yellow House telah ditubuhkan pada 2011 dan telah berjaya memberi manfaat kepada hampir 36,000 golongan gelandangan, miskin bandar dan pelarian selain menerima lebih 1,000 sukarelawan antarabangsa dari lebih 40 negara setakat ini. -MalaysiaGazette