Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di Pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 23 FEBRUARI 2025.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak dakwaan bahawa beliau bertindak atas dasar dendam peribadi, sambil menegaskan bahawa tindakan pentadbirannya semata-mata bertujuan memastikan tadbir urus yang baik serta membanteras rasuah.

Anwar menegaskan bahawa beliau tidak pernah mencampuri urusan penguatkuasaan dan telah memberikan kebebasan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka.

“Ada yang kata saya berdendam dan mencari kesalahan. Itu tidak benar.

“Saya sudah jelaskan kepada Kabinet bahawa kita tidak campur tangan.

“Ini termasuk memberikan (kebebasan penuh) kepada polis, Jabatan Kastam, dan Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk mengutip cukai, serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan serbuan bagi memerangi rasuah.

“Negara boleh maju, tetapi jika pemimpinnya hanya sibuk mengumpul kekayaan untuk diri sendiri, siapa yang akan menjaga rakyat? Apabila berlaku salah guna kuasa, kekayaan dikaut hingga ratusan juta disimpan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pusat beli-belah Alamanda berwajah baru, hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membidas Anwar berkaitan isu kerajaan menghalang beberapa pemimpin asing bertemu beliau.

Menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu, negarawan itu secara sinis berkata, Anwar boleh menafikan dakwaan itu, namun pada masa sama beliau menasihati Perdana Menteri supaya berhenti berbohong.

Tambah Mahathir, SPRM juga tidak menunjukkan sebarang bukti bahawa beliau telah mengkayakan anak-anaknya menggunakan jawatannya sebelum ini.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa anak-anaknya disuruh berniaga di luar negara semasa beliau masih menerajui kerajaan dan perniagaan dalam negara hanya dibuat setelah negarawan itu berhenti daripada menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here