KUALA LUMPUR – Akta Pembaharuan Semula Bandar bukan sahaja mengancam hak milik hartanah rakyat, tetapi juga berpotensi meminggirkan golongan berpendapatan rendah serta membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa dan amalan rasuah.
Ini kerana kata Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM), Armin Baniaz Pahamin, penurunan ambang persetujuan daripada 100 peratus kepada 80 atau 75 peratus memberikan kuasa kepada pemaju dan kerajaan untuk memaksa pemilik hartanah yang tidak bersetuju supaya melepaskan kediaman mereka.
Jelas beliau, tindakan itu berisiko menjejaskan komuniti B40 dan kumpulan rentan lain yang mungkin kehilangan tempat tinggal tanpa jaminan penempatan semula yang setimpal.
Malah, ujarnya, harga atau nilai pampasan yang ditawarkan mungkin tidak mencukupi untuk memastikan mereka yang terkesan mampu terus menetap di bandar atau di kawasan yang sama.
“Dengan memberikan peluang kepada pemaju untuk mengambil alih hartanah walaupun terdapat pemilik yang tidak bersetuju, ia bukan sahaja menafikan hak individu tetapi juga membuka ruang kepada pihak berkepentingan untuk memanipulasi majoriti bagi mendapatkan persetujuan projek pembangunan.
“Hal ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan dan hak asasi manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, tambah Armin Baniaz, pembangunan semula bandar yang tidak dirancang dengan teliti boleh menyebabkan masalah gentrifikasi yang mana komuniti asal mungkin dipinggirkan oleh pembangunan baharu yang lebih mewah dan mahal.
Katanya, kenaikan kos sara hidup di kawasan yang terlibat juga berpotensi memberi impak negatif kepada penduduk setempat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang mungkin tidak mampu menanggung kos kehidupan yang semakin tinggi.
Ujar beliau, sekiranya golongan berpendapatan rendah terutama mereka yang bekerja sebagai pegawai bawahan atau pembantu pejabat terpaksa berpindah ke luar bandar atau kawasan pinggir bandar, kesannya bukan hanya dirasai oleh mereka tetapi juga oleh ekonomi pusat bandar.
Tambahnya, ekosistem perniagaan bandar yang bergantung kepada tenaga kerja mampu milik ini akan berdepan kesukaran apabila majikan terpaksa menggaji pekerja dengan kos yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, kata Armin Baniaz, pihaknya menggesa kerajaan menarik balik cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar sehingga perbincangan dan konsultasi awam yang lebih meluas diadakan.
“Hanya dengan persetujuan semua pihak, barulah akta ini boleh dilaksanakan dengan adil dan saksama.
“Kami juga menuntut agar kerajaan mengutamakan kepentingan rakyat dalam sebarang projek pembangunan semula bandar serta memastikan hak milik hartanah rakyat dilindungi dengan jelas dalam sebarang dasar atau undang-undang baharu yang diperkenalkan,” katanya. – MalaysiaGazette