KUALA LUMPUR – Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz melahirkan keyakinan gabungan ekonomi negara-negara BRCIS mampu mengatasi ekonomi tradisional Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.
Menurut beliau, ia berdasarkan kekuatan ekonomi negara-negara anggota BRICS ketika ini khususnya China yang merupakan negara dengan kuasa ekonomi kedua terbesar dunia serta ASEAN dengan kekuatan ekonomi kelima terbesar.
Dalam masa sama, ujar beliau, ekonomi tradisional AS dan Eropah ketika ini juga disifatkan semakin perlahan sekali gus memberi kelebihan kepada negara-negara BRICS untuk menjadi kuasa baharu ekonomi dunia pada masa depan.
“Malah, kalau kita lihat ekonomi negara-negara di dalam BRICS ini pun sudah sedia kukuh, jadi saya sangat yakin dengan masa depan BRCIS ini sebagai ekonomi baharu dunia.
“Saya juga melihat apa yang diusahakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (mesra BRICS), beliau ada visinya.
“Beliau nampak kita perlu buat perkara yang betul dan perlu memperluaskan `basket’ (kerjasama ekonomi) iaitu bukan hanya berniaga dengan negara-negara tertentu sahaja, tapi juga perlu berniaga dan melibatkan diri dengan seberapa besar kumpulan (ekonomi) lain,” katanya.
Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas menjadi ahli panel dalam forum BRICS: A Bold Move For Malaysia anjuran bersama Gerakan Keadilan Monetari; Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Putra Business School di Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.

Selain beliau, forum yang dikendalikan Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid itu turut disertai dua ahli panel lain iaitu pensyarah Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM), Prof. Emeritus Dr. Mohd Nazari Ismail dan Pengerusi Gerakan Keadilan Monetari, Zahid Aziz.
Sementara itu, ditanya berkenaan ancaman AS khususnya Presiden baharu, Donald Trump yang akan mengenakan tarif 100 peratus kepada negara-negara BRICS sebagai tindak balas, Mohamed Nazri berkata, negara anggota BRICS termasuk Malaysia tidak perlu gentar dengan ancaman tersebut.
Jelas beliau, Trump pastinya menyedari sebarang ancaman atau reaksi beliau terhadap BRICS bakal menimbulkan tindak balas serupa daripada negara-negara anggota yang mungkin tidak memberi kelebihan kepada AS.
Beliau mengambil contoh bagaimana Trump terpaksa menarik balik kenaikan tarif tenaga sebanyak 25 peratus yang dikenakan terhadap Kanada selepas menyedari kesan tindakan tersebut termasuk terhadap rakyatnya sendiri.
“AS kena ingat dalam dunia ini, tidak ada satu negara pun yang boleh ugut negara lain tanpa mereka menerima reaksi, sebab sebarang tindakan oleh mana-mana negara akan menerima tindakan yang lain.
“Reaksi itu bukan sahaja dari negara yang diugut tetapi juga daripada rakyat mereka sendiri,” katanya.
Sementara itu, dalam rumusannya pada forum tersebut, Mohd Azmi berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS membuka peluang strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS, sekali gus meningkatkan kedaulatan dan daya tahan ekonomi negara.
Bagaimanapun, tambah beliau, walaupun prospek BRICS dilihat menjanjikan, namun Malaysia perlu tetap berhati-hati dalam menangani landskap geopolitik.
“Menyertai BRICS dan menyokong penyahdolaran boleh menarik perhatian serta tekanan ekonomi daripada negara-negara Barat, khususnya AS.
“Sebagai contoh, terdapat perbincangan mengenai kemungkinan tarif terhadap negara BRICS yang mengamalkan mata wang alternatif, yang boleh menjejaskan industri utama Malaysia seperti sektor semikonduktor,” katanya. – MalaysiaGazette