Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian Alamanda Berwajah Baharu di Pusat membeli belah Alamanda, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 22 FEBRUARI 2025.

PUTRAJAYA – Malaysia perlu melupakan isu titik bengik dan mengambil insiatif segera seperti negara-negara maju dalam mempergiatkan usaha memajukan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia seharusnya turut mengorak langkah seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah yang telah menumpukan usaha mereka mempercepatkan pembangunan serta melakukan peralihan tenaga yang lebih mampan.

“Negara-negara, negara Cina, Jepun, Amerika, Eropah sekarang berlumba-lumba mengangkat keupayaan teknologi, artificial intelligence (AI) dan pendigitalan.

“Mereka berbicara tentang bagaimana negara boleh berubah cepat dengan transisi tenaga dan tidak boleh bergantung kepada tenaga lama,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Pusat beli-belah Alamanda berwajah baru, hari ini.

Dalam ucapan sama, Anwar berkata, beliau melahirkan kebimbangan terhadap budaya masyarakat yang terlalu sibuk dengan isu-isu remeh sehingga menjejaskan tumpuan kepada perkara lebih besar.

Oleh itu, beliau menyeru semua pihak agar mengambil tanggungjawab dalam membangunkan negara dengan menumpukan kepada agenda yang lebih besar seperti teknologi, ekonomi hijau, dan perpaduan masyarakat bagi memastikan Malaysia terus maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.

“Kita riuh rendah tentang hal-hal yang remeh dan bergaduh,” katanya.

Semalam, Anwar berkata Malaysia dan Perancis senada dalam memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk pertahanan, ekonomi, tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan serta AI.

Anwar berkata, perkara itu dibincangkan dalam perbualan telefon beliau bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron pada Jumaat, susulan pertemuan mereka pada Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro, Brazil, pada 19 November lalu.

Beliau berkata, dalam perbincangan itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh isu Myanmar dan bersetuju mencari jalan penyelesaian secara diplomatik demi mewujudkan keamanan di negara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here