Sebuah motosikal terbabit dalam nahas lima kenderaan dan mengorbankan dua mangsa di Jalan Kota Tinggi-Kluang, Kluang hari ini.

KLUANG – Dua maut manakala dua lagi cedera selepas terlibat dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 84, Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian pada pukul 1.13 pagi itu melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena dan empat motosikal jenis Yamaha 135C, Nouvo LC, Yamaha Y15ZR dan SM Sport 110R.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa MPV berkenaan dari arah Kluang menghala ke Kota Tinggi manakala empat motosikal dari arah Kota Tinggi menghala ke Kluang.

“Tiba di tempat kejadian Yamaha 135LC ditunggang Arif Zaidi Zainurrizam yang berusia 20 tahun memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Nissan Serena dipandu seorang guru berusia 48 tahun.

“Perlanggaran itu menyebabkan Nouvo LC ditunggang Nur Azreen Najwa Roslan yang berusia 25 tahun tergesel dengan sebuah motosikal lain yang tidak dikenal pasti.

“Keadaan itu menyebabkannya hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan menghala ke Kluang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, disebabkan jarak yang dekat menyebabkan Nouva LC dan Yamaha Y15ZR terlanggar manakala SM Sport 110R cuba mengelak lalu terbabas dan jatuh atas jalan.

Kemalangan tersebut katanya, menyebabkan Arif Zaidi yang bekerja di kedai aksesori dan beralamat di Taman Desa di sini cedera parah di kepala dan badan, meninggal dunia di tempat kejadian.

Nur Azreen pula katanya, yang merupakan seorang suri rumah dan beralamat Kamunting, Perak, cedera parah di kepala dan juga meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara penunggang Yamaha Y15ZR dan SM Sport 110R iaitu remaja lelaki masing-masing berusia 16 dan 17 tahun cedera ringan di tangan dan kaki kiri, luka di tangan kanan dan kiri serta belakang badan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, katanya.

Siasatan lanjut ujarnya, masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar nahas. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here