BAITULMAQDIS – Israel menunda pembebasan tahanan Palestin sehingga diberi jaminan penyerahan tahanannya dilakukan tanpa prosedur yang ‘memalukan’ rejim penceroboh itu.
Kenyataan pejabat Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mendakwa: “Hamas sengaja menghina tahanan dan mengeksploitasi mereka untuk mempromosi matlamat politik,”.
Media Israel yang memetik sumber melaporkan tahanan Palestin yang menaiki bas dikeluarkan semula dan dibawa kembali ke sel tahanan.
Sementara itu, Bulan Sabit Palestin berkata, pasukannya meninggalkan Hospital Hadasah di Baitulmaqdis selepas penyerahan tahanan yang cedera, Kazem Zawahra dibatalkan.
Lembaga Hal Ehwal Tahanan dan Pembebasan Tahanan Palestin mengesahkan rejim penceroboh telah menunda pembebasan tahanan Palestin sehingga dimaklumkan kemudian.
Bagaimanapun, sebelum pembebasan ini, Perkhidmatan Penjara Israel telah berkongsi gambar beberapa tahanan Palestin memakai baju memaparkan Bintang Daud, logo perkhidmatan penjara Israel, serta frasa “Kami tidak akan memaafkan, kami tidak akan melupakan.
Menurut satu kenyataan, tahanan Palestin dipaksa memakai baju itu atas arahan ketua perkhidmatan penjara Israel, Kobi Yaakobi.
Setibanya di Gaza, rakyat Palestin yang dibebaskan terus membakar baju tersebut sebagai tanda penolakan terhadap mesej yang dibawanya.
Kumpulan penentang Palestin, Hamas, mengecam tindakan Israel itu dan menyifatkannya sebagai “slogan perkauman di belakang tawanan heroik kami.”
Sementara itu, Lembaga Penyiaran Israel (KAN) menyatakan Israel memutuskan untuk melewatkan pembebasan kumpulan ketujuh tahanan Palestin sebagai sebahagian daripada penjanjian fasa pertama gencatan senjata dan pertukaran tahanan.
Kira-kira 600 tahanan Palestin dijangka dibebaskan pada petang semalam,
Bagaimanapun media Israel melaporkan Tel Aviv menunda proses itu sehingga selepas mesyuarat keselamatan yang dipengerusikan Netanyahu dan prosedur mungkin bermula malam ini. – Agensi