KUALA LUMPUR – Pihak yang membantah Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tidak wajar difitnah sebagai tidak prihatin terhadap penduduk yang tinggal di bangunan usang.
Menurut Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar A Samad, pembangunan semula perumahan lama boleh dilakukan tanpa akta baharu kerana akta sedia ada sudah memadai.
“Akta ini juga tidak adil kerana suara 20 hingga 50 peratus penduduk akan diketepikan sekiranya ambang persetujuan ini diturunkan.
“Mereka tidak mempunyai peranan untuk menentukan masa depan pembangunan mereka. Sudah tentu ini ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Iskandar berkata, akta baharu ini turut menurunkan ambang persetujuan pembangunan daripada 100 peratus kepada hanya 50 hingga 80 peratus, bergantung pada usia dan keadaan bangunan, menjadikannya lebih mudah bagi pemaju untuk melaksanakan projek mereka.
Beliau memberi contoh kejayaan pembangunan semula Razak Mansion di Sungai Besi pada tahun 2014, yang memberikan kediaman lebih luas kepada 658 keluarga tanpa memerlukan APSB.
“Seramai 658 keluarga yang merupakan penduduk asal telah berpindah ke kediaman baharu yang lebih luas. Kejayaan pembangunan semula flat Razak Mansion ini merupakan satu bukti tiada keperluan untuk sebarang akta baharu.
“Keadaan ini boleh merugikan penduduk kerana pemaju tidak perlu bersungguh-sungguh menawarkan penyelesaian terbaik bagi mendapatkan persetujuan,” katanya.
Selain itu, penurunan ambang persetujuan ini dianggap tidak adil kerana ia mengenepikan suara 20 hingga 50 peratus penduduk yang mungkin menolak pembangunan semula.
REACH berpandangan akta ini lebih memihak kepada pemaju berbanding kepentingan penduduk dan boleh menyebabkan penindasan dalam nama kebajikan.
Justeru, beliau menegaskan bahawa sebarang pembaharuan perlu dilakukan dengan menambah baik akta sedia ada, bukannya memperkenalkan akta baharu yang mungkin mengorbankan hak penduduk.
Sebelum ini, Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) bersetuju untuk menggubal Akta Pembaharuan Semula Bandar yang akan mengutamakan hak pemilik asal dan memastikan kemampanan dalam pembangunan bandar.
Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, akta itu perlu digubal bagi menangani risiko keusangan dan kemerosotan kawasan bandar.
Usaha tersebut bagaimanapun menerima reaksi kurang senang beberapa pemimpin khususnya pembangkang termasuk wakil rakyat bebas, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menzahirkan kebimbangan nasib orang Melayu bandar yang didakwa bakal tersisih. – MalaysiaGazette