Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa margin keuntungan yang diambil oleh syarikat swasta yang hanya menjalankan peranan sebagai orang tengah dalam pajakan 28 buah helikopter adalah terlalu besar iaitu berjumlah sekali ganda.

Ketua Biro Portfolio Pertahanan PN, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, perkara itu berdasarkan perbandingan harga melalui dua kes sewaan sedia ada aset dari helikopter varian yang hampir sama dengan pesawat helikopter jenis AW149 yang dipajak.

Jelasnya, perbandingan itu melibatkan kontrak sewaan empat helikopter AW139 pada 2022 melibatkan kos keseluruhan RM265 juta dan kontrak selenggaraan helikopter AW189 dengan kos keseluruhan RM33 juta pada 2024.

“Kerajaan kelihatan tidak mahu berterus-terang berkenaan apakah butiran sebenar kos keseluruhan RM16.6 bilion berdasarkan persetujuan kontrak antara Kerajaan Malaysia dan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd..

“Jelas sekali kos siling atau implikasi maksima kontrak GOCOM sepatutnya hanyalah berjumlah antara RM8 bilion hingga RM9 bilion berbanding nilai kontrak yang dimeterai pada 19 Disember 2024 yang lalu.

“Rakyat perlu sedar bahawa margin keuntungan yang diambil oleh sebuah syarikat swasta yang hanya menjalankan peranan sebagai orang tengah adalah terlalu besar iaitu berjumlah sekali ganda,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai jawapan yang diberikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berhubung isu pajakan 28 helikopter di Dewan Rakyat minggu lalu yang antara lain menjelaskan, kaedah pajakan dilakukan bagi memastikan ketersediaan aset strategik tentera buat negara.

Ujar Mohamed Khaled, sekiranya kerajaan berkeras untuk memperoleh aset melalui kaedah pembelian secara terus, adalah tidak mustahil negara terpaksa menunggu terlalu lama atau mungkin tidak akan mampu mempunyai aset-aset strategik yang diperlukan negara selama-lamanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham yang juga Ahli Parlimen turut menyangkal dakwaan Mohamed Khaled yang mana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mungkin tidak akan dapat menggunakan aset helikopter dalam masa terdekat sekiranya membuat pembelian sebagaimana amalan perolehan atau pembelian terus seperti sebelum ini.

Jelas beliau, naratif itu mengelirukan kerana kerajaan pada Jun tahun lalu telah menandatangani memorandum persefahaham (MoU) dan melantik secara rasmi syarikat Savunma Teknolojileri Mühendislik ve Ticaret A.Ş (STM) dari Turkiye bagi perolehan terus Kapal LMS Batch 2 dengan nilai kos perolehan RM4 bilion tanpa sebarang masalah.

“Sekarang Menhan (Menteri Pertahanan) menyatakan naratif kerajaan tidak dapat menyediakan dana sepatutnya untuk perolehan helikopter secara terus untuk dilaksanakan.

“Tetapi dana dapat pula disediakan bagi mewajarkan satu kos yang tinggi  untuk kaedah pajakan yang sangat meragukan walaupun sudah ada bukti kos sebenar pembelian terus oleh negara lain seperti Poland dan juga Filipina jauh lebih rendah berbanding kaedah pajakan GOCOM 2024 kita,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham melahirkan rasa terkejut apabila Mohamed Khaled tanpa ragu-ragu dan dengan begitu yakin menyatakan helikopter AW149 mampu melaksanakan tindakan ‘under-slung’ meriam 105 mm pack howitzer yang kini digunakan secara meluas oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sedangkan, katanya, tidak pernah dibuktikan di dalam sejarah di dunia helikopter AW149 mampu melaksanakan tindakan ‘under-slung’ meriam 105 mm pack howitzer dan rujukan yang dibuat berkenaan tentera Mesir pernah mengangkut meriam secara ‘under-slung’ juga didakwa tidak betul.

“Kerja operasi atau tindakan ‘under-slung’ meriam 105mm pack howitzer oleh pesawat helikopter AW149 tidak pernah dibuktikan secara nyata melalui tindakan pandu-uji oleh juruterbang tentera dan jawapan Menteri hanya berasaskan maklumat “brochure” atau katalog yang dibekalkan oleh syarikat.

“Hakikatnya, pesawat Nuri yang mampu mengangkut berat yang lebih besar secara ‘under-slung’ termasuk meriam 105mm pack Howitzer juga kadang-kadang menghadapi masalah melaksanakan tindakan berkenaan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan memajak sebanyak 28 buah helikopter pelbagai varian buatan Syarikat Leonardo dari Itali secara pelaksanaan ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM).

Kontrak itu dimeterai antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. pada 19 Disember 2024 bagi perjanjian pajakan selama 15 tahun bersama nilai kontrak perolehan terbesar dalam sejarah negara iaitu berjumlah RM16.6 bilion. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here