MUAR – “Ibu, ayah dan kami tiga beradik tengah bersarapan sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan. Ayah buka tingkap dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.
“Ayah sempat suruh ibu sembunyi kami adik beradik di dalam peti besi di berek polis tetapi tidak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu lepaskan tembakan kepada ayah. Peluru terkena perut ayah sehingga terburai.”
Kisah menyayat hati itu diceritakan Zaleha Ahmad, 75, anak kepada Allahyarham Ahmad Muhammad Jaafar iaitu anggota polis yang bertugas dan maut dalam tragedi berdarah Bukit Kepong, kira-kira 75 tahun lalu.
Menurut Zaleha, ayahnya yang berkhidmat sebagai ‘mata-mata’ ditembak komunis di berek polis Bukit Kepong ketika bersarapan bersama keluarganya.
Jelasnya, ketika kejadian pada pukul 4.30 pagi itu, usianya baharu tiga bulan dan ibunya, Allahyarham Marian Ibrahim yang berkongsi tragedi hitam itu dengan anak-anaknya.
Kata Zaleha, ibunya menceritakan, selepas bapanya ditembak, komunis membawa ibu dan mereka semua ke tepi sungai.
“Ibu yang mendukung abang berusia tiga tahun diacukan senapang untuk dijadikan umpan pujuk tiga lagi anggota polis di balai polis untuk serah diri,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong, di sini, hari ini.
Galeri tersebut dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar yang turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa tragedi itu.
Bercerita lanjut, Zaleha yang tidak menahan sebak memberitahu, anggota polis terbabit tetap berkeras mahu pertahanankan balai polis dan sanggup menggadaikan nyawa.
“Anggota polis itu beritahu biarlah mereka mati di situ dan minta ibu selamatkan anak-anak. Ibu kemudiannya kembali ke berek dan menarik ayah yang cedera ditembak ke tepi sungai. Saya dipangku oleh kakak yang berusia lima tahun.
“Selepas komunis masuk ke dalam hutan, bot digerakkan untuk bawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi pewaris wira Bukit Kepong, Jariah Jidin 74, kehilangan bapanya, Lans Koperal Jidin Omar ketika berada dalam kandungan ibunya yang berusia dua bulan.
“Ibu cerita, bapa ditembak di perut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kami sekeluarga kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata angkara serangan komunis.
“Kami membesar sebagai anak yatim dalam kesusahan. Setiap kali majlis peringatan ini diadakan, saya terkenang bagaimana sukar hidup kami selepas ketiadaan bapa,” katanya.
Tragedi Bukit Kepong yang berlaku pada 23 Februari 1950 menyaksikan pengorbanan besar anggota polis dan keluarga mereka dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan lebih 180 pengganas komunis. – MalaysiaGazette