Anggota bomba memadamkan kebakaran sebuah kereta yang terlibat kemalangan di susur keluar Setia Tropika, Kempas, Johor Bahru, hari ini. - Foto ihsan bomba Johor

JOHOR BAHRU – Pemandu kereta yang rentung dalam kemalangan awal pagi tadi, dipercayai terlebih dahulu terbakar dan sempat diberhentikan di tepi besi penghadang jalan di Lebuhraya Utara-Selatan di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, namun tindakan pemandu berhenti rapat dengan besi penghadang jalan itu tidak dapat menyelamatkan nyawanya kerana gagal keluar dan akhirnya dilaporkan rentung dalam kereta itu.

Terdahulu kata beliau, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada pukul 5 pagi.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda City S 1.5L I-vtec yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun sedang bergerak di lorong kanan menuju ke Skudai.

“Setibanya di lokasi kejadian, kereta itu tiba-tiba terbakar. Mangsa sempat memberhentikan kenderaannya rapat ke besi penghadang, namun keadaan itu menghalangnya daripada keluar menyebabkan dia terperangkap dan rentung di dalam kereta,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, pihak bomba turut berada di lokasi kejadian dan berusaha memadamkan kebakaran, namun gagal mengeluarkan mangsa dari kereta itu.

Katanya, kemalangan itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau merbahayakan.

Pada masa sama, Balveer Singh menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat  berkaitan kes ini supaya menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ong Jin Siong di talian 011-16490168.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here