Onn Hafiz membersihkan sampah sarap sempena program Southern Volunteers (VS) Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor 2025 di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Sembilan daripada 14 sungai di Johor dikategorikan sebagai tercemar di negeri ini sudah dapat dibersihkan sepenuhnya.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkembangan tersebut amat positif dan usaha diteruskan pada tahun ini dengan RM7 juta diperuntukkan untuk membersihkan Sungai Skudai dan Sungai Tebrau.

“Justeru, kita perlu terus berusaha dan melipatgandakan strategi melibatkan pelbagai pihak untuk memastikan sifar sungai tercemar di negeri ini,” katanya.

Onn Hafiz berkata demikian pada sidang akhbar sempena program Southern Volunteers (VS) Go Green @ Johor Bersih Peringkat Negeri Johor 2025 di Kampung Bakar Batu, Sungai Tebrau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon.

Pada Julai tahun lalu, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata, sembilan daripada 25 sungai di Johor Bahru diklasifikasikan tercemar.

Ini membabitkan Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.

Onn Hafiz berkata, selain itu peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membersihkan dua sungai iaitu Sungai Buluh dan Sungai Tukang Batu, Pasir Gudang.

Kerajaan negeri katanya, menyasarkan untuk mengeluarkan dua sungai tersebut daripada senarai tercemar dengan kerja pembersihan dan rawatan kualiti air supaya tahap kualiti air dapat dipertingkatkan.

“Dua sungai ini kurang sumber air mentah dan air yang mengalir adalah air kegunaan perumahan dan industri yang menyebabkan tahap air itu berada di tahap keempat keatas, bererti tahap kotor dan sudah lama dalam senarai tercemar,” katanya.

Menurutnya, selain proses pembersihan, kesedaran semua pihak terhadap kebersihan sungai juga perlu diterapkan agar tahap kebersihan dapat dikekalkan.

“Ia juga adalah satu usaha yang perlu dilaksanakan secara berterusan, kita dapati bahawa banyak sampah yang dibuang di sungai kita adalah datang daripada kawasan perumahan dan setinggan.

“Ia bukan perkara yang mudah, tak kan nak datang bersihkan hari-hari. Jadi, kesedaran sivik itu perlu ditetapkan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast