Alias Rameli

PUTRAJAYA – Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun atau Julai tahun ini selepas melalui pelbagai proses perundangan dan libat urus sejak Disember tahun lepas.

Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr Alias Rameli berkata, draf akhir RUU berkenaan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan mendapat maklum balas positif.

“Kita telah menjalani 74 sesi libat urus di seluruh negara membabitkan badan profesional, kementerian, pemaju, badan pengurusan bersama (JMB), perbadanan pengurusan (MC), pihak awam, universiti serta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selepas rundingan akhir dengan AGC selesai, kita akan bawa RUU ini ke Jemaah Menteri sekitar April atau Mei dan selepas mendapat kelulusan, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan sebelum membawanya ke Parlimen,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, proses di Parlimen akan melibatkan pembentangan kali pertama dan kedua sebelum diluluskan, selari dengan prosedur penggubalan undang-undang sedia ada.

Mengulas dakwaan bahawa Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) tidak memberi restu kepada RUU itu, Alias menegaskan bahawa peranan jabatan berkenaan berbeza dan ia tidak mengganggu proses pembangunan semula bandar yang berada di bawah bidang kuasa PLANMalaysia dan PBT.

Beliau turut memaklumkan beberapa siri perbincangan yang telah diadakan dengan pihak JKPTG berkaitan Akta Hakmilik Strata menghasilkan dapatan yang sangat positif dalam menyokong RUU ini.

Dalam pada itu, Alias berkata antara kebimbangan pemilik asal dalam projek pembangunan semula bandar adalah kadar yuran penyelenggaraan yang lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Dahulu, ketika zaman rumah awam, yuran penyelenggaraan mungkin hanya RM40 atau RM50 sebulan, tetapi dalam projek pembangunan semula bandar, kadar ini akan mengikut harga pasaran dan keluasan lantai, mungkin sekitar RM150 hingga RM200 sebulan.

“Dua tahun pertama, kos ini boleh dimasukkan dalam perbelanjaan pembangunan, tetapi selepas tempoh itu, pemilik perlu membayar kadar yang sesuai. Kerajaan tidak boleh memberi subsidi khas bagi yuran penyelenggaraan secara berterusan kerana ia tidak mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerajaan masih memberikan bantuan kepada komuniti perumahan strata melalui pelbagai inisiatif penyelenggaraan di bawah konsep Malaysia MADANI. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here