BUTTERWORTHLoji Penyahairan Sungai Dua (SDDP) yang bernilai RM20 juta kini beroperasi, menawarkan solusi baharu dalam pengurusan sisa loji rawatan air (LRA) di Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk K. Pathmanathan berkata, dengan kapasiti untuk mengendalikan hingga 500 tan metrik sisa LRA setiap hari, fasiliti ini bertujuan untuk meningkatkan keberkesanan operasi rawatan air di LRA Sungai Dua, yang merupakan loji terbesar di negeri ini.

“Loji Sungai Dua mengeluarkan 1,021 juta liter air terawat setiap hari, membekalkan air kepada lebih 465,000 pengguna di Pulau Pinang.

“Namun, proses rawatan air ini menghasilkan 450 mt sisa LRA setiap hari, yang kini akan diproses di SDDP. Dengan kos pelupusan yang jauh lebih rendah, SDDP mampu menurunkan kos pengurusan sisa sebanyak 74 peratus menjadikan pengurusan lebih efektif dan mesra alam.

“SDDP yang dikendalikan oleh Alam Aliran Kualiti Sdn Bhd (AAK) di bawah penyeliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bukan hanya bertujuan untuk mengurangkan kos tetapi juga memastikan pematuhan terhadap peraturan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pelupusan sisa terjadual,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow merasmikan SDDP tersebut.

Mengulas lanjut Pathmanathan berkata, kepayaan SDDP untuk mengendalikan sisa dalam kapasiti yang lebih besar memberi ruang kepada LRA Sungai Dua untuk meningkatkan pengeluaran air terawat di masa hadapan hingga 1,342 juta liter sehari.

“Pembangunan fasiliti ini mencerminkan usaha berterusan Pulau Pinang dalam mencapai matlamat pembangunan lestari, dengan mengutamakan pengurusan sisa yang selamat dan mesra alam seiring dengan peningkatan kapasiti rawatan air,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here