kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memastikan siasatan dakwaan kes rasuah melibatkan empat pegawai bekas Perdana Menteri kesembilan dilakukan secara bebas, adil dan telus.

Dalam masa sama, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, perkembangan siasatan kes itu juga perlu dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Jelas beliau, sekiranya terdapat bukti kukuh, pihak yang terlibat harus dihadapkan ke mahkamah tanpa sebarang kompromi selari dengan prinsip rasuah tidak boleh dilindungi atas dasar politik atau jawatan.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2025/02/23/sprm-tahan-empat-pegawai-penyai-kaitan-dengan-pm-kesembilan/

“MCW menyokong penuh siasatan yang dijalankan dan menegaskan bahawa integriti serta ketelusan dalam pentadbiran negara harus menjadi keutamaan.

“Sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan dana awam perlu ditangani dengan tegas bagi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan tidak terhakis.

“Perkembangan ini juga mencerminkan usaha berterusan SPRM dalam membanteras rasuah tanpa mengira individu atau kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPRM dilaporkan menahan empat pegawai yang mempunyai kaitan dengan bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sumber SPRM mengesahkan penahanan empat pegawai terbabit dan sudah mendapatkan perintah reman ke atas mereka di Mahkamah Putrajaya semalam.

Perintah reman selama lima hari bermula Jumaat lalu itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha terhadap tiga individu, manakala seorang lagi direman tiga hari dan dibebaskan hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki seperti dilaporkan media berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16a Akta SPRM.

Dalam pada itu, Jais berkata, pendedahan terbaharu tersebut menunjukkan keperluan untuk memperkukuh sistem semak dan imbang dalam pengurusan dana awam.

Sehubungan itu, ujarnya, MCW menyeru supaya reformasi institusi dilaksanakan dengan lebih menyeluruh.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan semua pemimpin dan penjawat awam amanah yang diberikan rakyat tidak boleh disalahgunakan demi kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.

Sebaliknya, tegas beliau, keutamaan harus diberikan kepada kepentingan negara dan kesejahteraan rakyat.

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini dan mendukung sebarang usaha untuk membersihkan negara daripada gejala rasuah.

“Kita juga mengajak rakyat Malaysia untuk bersama-sama menolak sebarang bentuk penyelewengan dan menyokong budaya integriti dalam pentadbiran negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here