Nur Azreen Najwa Roslan

KLUANG – Suri rumah yang terkorban dalam kemalangan lima kenderaan di Jalan Kota Tinggi-Kluang, di sini, malam tadi, dalam perjalanan mengambil barang anaknya yang kini dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.

Suami kepada Nur Azreen Najwa Roslan, 25, yang hanya mahu dikenali sebagai Al Fatah berkata, isterinya itu dalam perjalanan ke rumah mereka di Kem Batu Tiga, di sini.

Dia berkata, Nur Azreen mahu mengambil barang keperluan anaknya yang berusia setahun dan sedang mendapat rawatan di HEBHK akibat demam panas.

“Ketika cuba menghubungi isterinya kira-kira pukul 1.30 pagi untuk mendapatkan kepastian, saya terkejut apabila panggilan disambut oleh polis dan memaklumkan isterinya maut dalam kemalangan itu.

“Mayat Nur Azreen Najwa akan dihantar ke Batu Kurau di Perak sebaik selesai urusan di hospital hari ini,” katanya ketika ditemui.

Dalam kejadian pada pukul 1.13 pagi itu, mangsa terjatuh daripada motosikal Nouvo LC yang ditunggangnya dan mengalami cedera parah di bahagian kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Seorang lagi penunggang motosikal turut maut manakala dua lagi cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, sekumpulan penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan itu melarikan diri daripada pasukan peronda polis bermula dari lampu isyarat Bandar Sri Impian, di sini.

Jelasnya, pasukan peronda lolis hanya melakukan rondaan biasa sebaik dimaklumkan oleh orang awam tentang penunggang motosikal berkumpul beramai-ramai di sebuah stesen minyak di Bandar Sri Impian.

Katanya, sebaik kereta Peronda Polis itu sampai ke lampu isyarat Bandar Sri Impian, semua penunggang motosikal berkenaan sudah berada di laluan bertentangan menghala ke Bandar Kluang.

“Polis tidak mengejar, namun mereka yang melarikan diri, malah polis hanya menyuraikan dengan menyuruh mereka balik sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here