MELAKA – Rakan serumah wanita yang ditemui mati dipercayai dibunuh kekasihnya di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Pokok Mangga di sini pagi tadi mendakwa terdengar suara mangsa seperti menahan kesakitan tengah malam Jumaat lalu.
Menurutnya yang tinggal serumah dengan mangsa berusia 52 tahun, kali terakhir dia terdengar suara wanita itu dan seorang lelaki dipercayai kekasihnya yang menyewa di rumah dua tingkat itu adalah malam 21 Februari lalu.
“Saya terdengar suara wanita itu seperti menahan kesakitan tapi tak berani hendak masuk campur kerana berlaku pertengkaran antara mangsa dan kekasihnya sebelum itu.
“Bimbang sesuatu yang buruk, saya ketuk pintu bilik sewa mangsa kira-kira pukul 11 pagi tadi sebelum dibuka seorang lelaki memberitahu tiada apa yang berlaku.
“Bagaimanapun, suasana bilik ketika itu gelap dan saya ternampak kelibat wanita itu sudah terbaring di atas katil,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut wanita itu, dia kemudian menceritakan nasib menimpa mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak kepada rakannya sebelum dia menghubungi polis.

Rumah kejadian seorang wanita dipercayai dibunuh kekasihnya di Taman Seri Mangga Seksyen 1, Pokok Mangga, Melaka pagi tadi.
Sementara itu pemerhatian MalaysiaGazette di lokasi mendapati kehadiran Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Leow Kian Heong dan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit di lokasi.
Polis bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.
Sementara itu menurut sumber, polis menemukan mayat wanita itu berlumuran darah di atas katil bersama suspek berada berhampirannya dalam keadaan cedera dipercayai berlaku pergelutan antara mereka
“Turut dijumpai adalah dua bilah pisau kecil dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian ini disyaki berpunca daripada masalah kewangan.
“Suspek yang turut cedera cedera telah dibawa ke Hospital Melaka dan mayat diserah kepada Jabatan Perubatan Forensik hospital sama untuk proses bedah siasat,” katanya. – MalahysiaGazette